Fasiliti minyak Iran diserang, empat maut

Serangan udara dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel menyasarkan fasiliti minyak Iran./ AFP

TEHRAN, 8 Mac – Serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel yang menyasarkan lima fasiliti minyak di ibu negara Iran, mengorbankan empat nyawa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kakitangan syarikat pengedaran minyak antara yang terkorban, termasuk dua pemandu.
  • Empat depot minyak dan sebuah pusat pengangkutan produk petroleum di Tehran dan Alborz terjejas.
  • Fasiliti rosak namun kebakaran berjaya dikawal, depot minyak dilaporkan mempunyai simpanan petrol mencukupi.
  • Asap menutupi ibu kota dan penduduk melaporkan bau hangit di udara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pengedaran Produk Minyak Nasional Iran, Keramat Veyskarami, mereka yang terkorban merupakan kakitangan syarikat tersebut termasuk dua pemandu.

Beliau memberitahu, dalam serangan yang dilancarkan semalam (malam), empat depot minyak dan sebuah pusat pengangkutan produk petroleum di Tehran dan Alborz terjejas.

“Fasiliti-fasiliti terlibat rosak. Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal. Depot minyak Iran mempunyai simpanan petrol yang mencukupi,” katanya kepada stesen televisyen negara itu pada Ahad.

Asap daripada kebakaran terbabit menutupi ibu kota dan penduduk melaporkan bau hangit masih dikesan di udara.

Konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini bermula selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lepas yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei.

Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel serta kepentingan Amerika Syarikat di seluruh rantau itu. – AFP