
GAZA, 6 April – Empat rakyat Palestin terkorban di utara Gaza dalam serangan udara Israel pada Ahad, ketika usaha memperkukuh gencatan senjata sedang giat dijalankan.
- Serangan menyasarkan sekumpulan individu di Jalan Jaffa berhampiran kawasan Darraj, mengakibatkan korban dan kecederaan.
- Penduduk Palestin mengadakan upacara pengebumian bagi mangsa yang terkorban pada hari sama.
- Tentera Israel mendakwa pejuang Hamas beroperasi berhampiran tenteranya di utara Gaza dan menimbulkan ancaman kepada Israel.
- Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 700 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak gencatan senjata.
Menurut pasukan perubatan, serangan itu menyasarkan sekumpulan individu di Jalan Jaffa berhampiran kawasan Darraj di bandar Gaza, menyebabkan empat maut dan beberapa lagi cedera.
Penduduk Palestin turut mengadakan upacara pengebumian bagi mangsa yang terkorban di Gaza pada hari sama.
Sementara itu, Tentera Israel seperti biasa mendakwa kumpulan pejuang Hamas beroperasi berhampiran tenteranya di utara Gaza serta menimbulkan ancaman kepada Israel.
Konflik berterusan menyaksikan Hamas dan Israel saling menuding jari berhubung pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober lalu.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 700 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak gencatan senjata.
Selain itu, minggu lalu delegasi Hamas bertemu perantara Mesir, Qatar dan Turkiye di Kaherah bagi membincangkan maklum balas awal terhadap cadangan pelucutan senjata yang dikemukakan bulan lalu, menurut dua sumber Mesir dan seorang pegawai Palestin.
Sumber itu memaklumkan, Hamas menegaskan kepada pihak perantara bahawa kumpulan pejuang itu tidak akan mempertimbangkan pelucutan senjata tanpa jaminan Israel berundur sepenuhnya dari Gaza seperti yang digariskan dalam pelan damai dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.-REUTERS