Dunia di ambang bahaya susulan penamatan perjanjian nuklear AS-Rusia

Foto REUTERS

MOSCOW, 3 Februari – Kremlin memberi amaran bahawa dunia sedang menuju ke tahap “bahaya” apabila perjanjian nuklear antara Amerika Syarikat dan Rusia dijangka tamat minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tanpa lanjutan New START, Amerika Syarikat dan Rusia hilang kerangka utama untuk mengehad dan mengawal senjata nuklear mereka.
  • Krisis rundingan, termasuk tuduhan halangan misi pemantauan, telah menghentikan pemantauan dan rundingan lanjutan perjanjian.
  • Ketegangan meningkat selepas ujian pengangkut senjata Rusia dan pergerakan kapal selam nuklear AS, meningkatkan risiko ketidakstabilan global.

“Dalam beberapa hari sahaja lagi, dunia akan berada pada kedudukan yang lebih berbahaya daripada sebelum ini,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, kepada wartawan termasuk AFP, semasa taklimat harian.

Kremlin, yang telah menawarkan lanjutan perjanjian selama setahun, berkata mereka “masih belum menerima sebarang jawapan daripada pihak Amerika terhadap inisiatif ini.”

Sekiranya perjanjian itu tidak dilanjutkan, dua kuasa nuklear utama dunia akan tidak akan memiliki dokumen asas yang akan mengehad dan mengawal senjata nuklear mereka,” buat kali pertama.

Presiden AS, Donald Trump, yang memutuskan banyak perjanjian antarabangsa yang mengehadkan Amerika Syarikat, berkata pada September bahawa lanjutan New START “ merupakan idea yang baik,” namun, tiada perkembangan baharu sejak itu.

Perjanjian yang merangkumi mekanisme pemantauan itu ditandatangani pada 2010 oleh Presiden Rusia ketika itu, Dmitry Medvedev, dan Presiden AS, Barack Obama.

Bagaimanapun, Rusia menangguhkan pemeriksaan pemantauan semasa pandemik COVID-19 dan rundingan bagi melanjutkan perjanjian berkenaan terhenti dalam beberapa tahun akibat ketegangan berkaitan perang Ukraine.

Moscow juga menuduh Washington menghalang misi pemantauan di AS.

Pada 2023, Rusia membekukan penyertaannya dalam New START, tetapi masih secara sukarela mematuhi had yang ditetapkan dalam perjanjian itu.

Tahun lalu, Moscow menguji pengangkut senjata nuklearnya yang terbaharu tanpa kepala nuklear.

Sementara Trump memaklumkan beliau memindahkan dua kapal selam nuklear lebih dekat ke Rusia.

Perjanjian kawalan senjata Nuklear New START, perjanjian nuklear terakhir antara Washington dan Moscow selepas beberapa dekad rundingan sejak era Perang Dingin, dijadualkan tamat pada Khamis ini, sekali gus menamatkan sekatan ke atas dua kuasa nuklear utama dunia. – REUTERS