
SEOUL, 27 Jun – Dua lagi kapal yang dikendalikan syarikat perkapalan Korea Selatan berjaya melepasi Selat Hormuz selepas terkandas selama beberapa bulan ekoran konflik di Asia Barat, menurut Kementerian Lautan dan Perikanan negara itu.
- 26 kapal berkaitan Korea Selatan terkandas selepas Iran menyekat Selat Hormuz susulan konflik dengan AS dan Israel.
- Kapal lain meninggalkan laluan secara berperingkat selepas perjanjian gencatan senjata AS-Iran; dua kapal pertama dibantu Iran ketika konflik.
- Hanya tiga kapal berkaitan Korea Selatan masih berada di Selat Hormuz, termasuk HMM Namu yang rosak dan sedang dibaiki di Dubai.
- Kementerian dan Kementerian Luar memantau masa nyata serta menyediakan bantuan diplomatik dan pandu arah untuk memastikan keselamatan kapal dan kru.
“Dua kapal yang dikendalikan syarikat perkapalan Korea Selatan, yang sebelum ini menunggu untuk melalui Selat Hormuz kini kembali belayar seperti biasa selepas berjaya melepasi laluan perairan itu,” kata seorang pegawai kementerian.
Kedua-dua kapal itu adalah antara 26 kapal berkaitan Korea Selatan yang terkandas selepas Iran menyekat laluan perkapalan di Selat Hormuz pada penghujung Februari susulan konflik dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Dua kapal pertama berjaya melepasi selat itu ketika konflik masih berlangsung dengan bantuan Iran, manakala kapal-kapal lain mula meninggalkan laluan berkenaan secara berperingkat selepas AS dan Iran menandatangani perjanjian gencatan senjata awal bulan ini.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan hanya tiga lagi kapal berkaitan Korea Selatan masih berada di Selat Hormuz, termasuk HMM Namu yang mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu yang dikaitkan dengan Iran dan kini sedang menjalani kerja pembaikan di sebuah pelabuhan di Dubai.
Empat kru warga Korea Selatan berada di atas dua kapal yang baru melepasi selat itu, namun kedua-duanya tidak dalam pelayaran menuju ke Korea Selatan.
Menurut kementerian itu, seramai 43 kru warganegaranya masih berada di Selat Hormuz, termasuk mereka yang bertugas di atas kapal Korea Selatan dan kapal berdaftar asing.
Kementerian turut memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Luar menjalankan pemantauan waktu nyata serta menyediakan bantuan diplomatik dan pandu arah bagi memastikan kapal-kapal berkenaan dapat melepasi Selat Hormuz dengan selamat. – BERNAMA