
KATHMANDU, 10 Februari – Datuk Bandar Kathmandu yang juga bekas rapper terkenal, Balendra Shah, bersiap sedia menghadapi cabaran terbesar dalam karier politiknya apabila memilih bertanding secara langsung menentang tokoh veteran, KP Sharma Oli, di kawasan Parlimen milik bekas perdana menteri itu.
- Balendra Shah mencabar veteran KP Sharma Oli di kawasan Parlimen Jhapa-5 bagi pilihan raya 5 Mac.
- Bekas rapper ini dikenali sebagai simbol perubahan, selepas memimpin protes anti-rasuah dan menang sebagai Datuk Bandar Kathmandu.
- Beliau menyertai Rastriya Swatantra Party; berpotensi jadi perdana menteri dengan platform ekonomi liberal dan keadilan sosial.
Shah, 35, lebih dikenali sebagai Balen, muncul sebagai simbol perubahan politik yang digerakkan golongan muda selepas menyokong protes besar-besaran anti-rasuah yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Oli tahun lalu.
Dilahirkan di Kathmandu pada 1990, Shah dibesarkan ketika Nepal dilanda perang saudara Maois antara 1996 hingga 2006 yang meragut ribuan nyawa dan akhirnya menamatkan sistem monarki. Beliau yang berkelulusan kejuruteraan awam mula dikenali menerusi arena hip-hop bawah tanah Nepal dengan lagu-lagu yang mengkritik rasuah dan ketidaksamaan sosial.
Tema itu, menurut Shah, terus menjadi asas perjuangan politiknya menjelang pilihan raya 5 Mac ini di negara Himalaya berpenduduk kira-kira 30 juta orang.
Pada 2022, beliau mencipta kejutan besar apabila dipilih sebagai calon bebas pertama memenangi jawatan Datuk Bandar Kathmandu, sekali gus menggugat landskap politik tradisional negara itu. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Shah dikenali sebagai reformis lantang dengan kempen membanteras pengelakan cukai, kesesakan lalu lintas dan masalah pengurusan sisa bandar, namun turut dikritik kerana pendekatan tegas serta kecenderungan berkomunikasi terus melalui media sosial.
Pada Januari lalu, Shah meletakkan jawatan datuk bandar untuk bertanding dalam pilihan raya umum pertama sejak protes besar September lalu. Beliau memilih untuk mencabar Oli di kawasan luar bandar Jhapa-5, kira-kira 300 kilometer di tenggara Kathmandu.
Pada Disember, Shah menyertai parti berhaluan tengah, Rastriya Swatantra Party (RSP), yang dipimpin oleh personaliti televisyen, Rabi Lamichhane. RSP muncul sebagai kuasa keempat terbesar Parlimen dalam pilihan raya 2022 dan mencabar dominasi parti-parti lama Nepal.
Sekiranya RSP memenangi majoriti, Shah berpotensi menjadi perdana menteri. Beliau menyifatkan ideologi parti itu sebagai sistem ekonomi liberal dengan keadilan sosial, termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan percuma untuk golongan miskin.
Walaupun aktif dalam politik, Shah menegaskan muzik akan terus menjadi sebahagian daripada dirinya. “Muzik adalah medium untuk meluahkan perasaan. Saya akan terus berkarya, walaupun dipilih sebagai perdana menteri,” katanya.-AFP