
CANBERRA, 10 Mac– Australia akan menghantar peluru berpandu ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta menempatkan pesawat pengawasan ketenteraan di Asia Barat susulan konflik yang semakin memuncak di rantau itu.
- Tindakan bertujuan memantau keselamatan ruang udara Teluk dan melindungi rakyat Australia di kawasan itu.
- Australia tidak akan menghantar tentera darat ke Iran; penglibatan adalah defensif untuk melindungi rakyat dan membantu rakan di UAE.
- Kira-kira 115,000 rakyat Australia berada di Asia Barat; lebih 2,600 telah pulang melalui penerbangan komersial.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, langkah itu diambil bagi membantu memantau keselamatan ruang udara negara Teluk serta melindungi rakyat Australia yang berada di kawasan berkenaan.
“Pesawat amaran awal dan kawalan udara E-7A Wedgetail akan dikerahkan ke rantau itu bagi menjalankan operasi pemantauan.
Ia juga adalah bagi membantu usaha mempertahankan ruang udara negara Teluk,” katanya dalam sidang media di Canberra.
Albanese memaklumkan, bantuan ketenteraan tersebut susulan perbincangan beliau dengan Presiden negara itu, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Australia tidak akan menghantar tentera darat ke Iran dan penglibatan negara itu hanya melibatkan langkah pertahanan.
“Penglibatan kami bersifat defensif, bagi melindungi rakyat Australia di rantau itu serta membantu rakan kami di UAE,” katanya.
Menurut Albanese, kira-kira 115,000 rakyat Australia berada di Asia Barat ketika konflik tercetus kira-kira 11 hari lalu.
Setakat ini, lebih 2,600 rakyat Australia telah pulang melalui penerbangan komersial, manakala usaha membantu mereka yang masih berada di rantau tersebut masih diteruskan. -REUTERS