
BEIRUT, 9 April – Israel melancarkan serangan udara paling hebat ke atas Lubnan sejak konflik meletus bulan lalu, meskipun kumpulan pejuang Hizbullah dilaporkan menghentikan serangan susulan pelaksanaan gencatan senjata dua minggu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
- Kementerian Kesihatan Lubnan: 89 terbunuh termasuk 12 petugas perubatan, dan 700 cedera di seluruh negara.
- Netanyahu kata gencatan senjata tidak terpakai bagi Lubnan, manakala perantara Pakistan mendakwa Lubnan termasuk dalam perjanjian.
- Hizbullah menyatakan mereka mematuhi gencatan senjata; ahli parlimen menuduh Israel melanggar perjanjian dan melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Rejim Israel mendakwa serangan itu menyasarkan lebih 100 pusat arahan dan tapak tentera Hizbullah yang merangkumi kawasan Beirut, Lembah Bekaa dan selatan Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan serangan itu meragut sekurang-kurangnya 89 nyawa, termasuk 12 petugas perubatan, manakala 700 lagi cedera di seluruh negara.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa gencatan senjata yang menangguhkan perang enam minggu antara AS-Israel terhadap Iran itu tidak terpakai bagi operasi di Lubnan.
Kenyataan berkenaan bagaimanapun bercanggah dengan penjelasan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif selaku perantara utama rundingan, yang menyatakan bahawa perjanjian gencatan senjata tersebut turut merangkumi wilayah Lubnan.
Sementara itu, ahli parlimen kanan Hizbullah, Ibrahim al-Moussawi memaklumkan pihaknya telah mematuhi gencatan senjata tersebut selepas dimaklumkan mereka adalah sebahagian daripada perjanjian berkenaan.
“Hizbullah mematuhinya, namun Israel seperti biasa telah melanggarnya dan melakukan pembunuhan beramai-ramai di seluruh Lubnan,” katanya kepada media.
Seorang lagi ahli parlimen kumpulan itu, Hassan Fadlallah menyifatkan tindakan Israel sebagai “pelanggaran serius” yang bakal memberikan kesan besar kepada keseluruhan perjanjian sekiranya serangan diteruskan.
Setakat ini, kempen ketenteraan Israel di Lubnan sejak 2 Mac lalu telah mengorbankan lebih 1,500 orang, termasuk 130 kanak-kanak, selain mengakibatkan lebih 1.2 juta penduduk hilang tempat tinggal.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun menyambut baik gencatan senjata AS-Iran tersebut dan menegaskan Beirut akan terus berusaha memastikan negara itu dimasukkan dalam sebarang perjanjian damai serantau yang kekal. – REUTERS