
SAUDARA PENGARANG
- Jurang antara penggunaan AI dan keupayaan menjana nilai ekonomi perlu dihubungkan melalui latihan praktikal fokus pada strategi, penilaian output dan pelaksanaan perniagaan.
- Kuantiti kandungan tidak mencukupi; kelebihan datang daripada komunikasi relevan, dipercayai dan mampu menggerakkan tindakan pelanggan sehingga tercipta nilai ekonomi.
- Latihan berkesan mengubah AI menjadi co-pilot komunikasi perniagaan, membantu simulasi pelanggan, latihan jawapan dan menyokong keputusan jualan secara praktikal.
Kecerdasan buatan (AI) semakin mudah diakses. Dalam beberapa saat, usahawan kini boleh meminta AI menghasilkan kapsyen, idea promosi, skrip video, penerangan produk malah pelbagai cadangan untuk memasarkan perniagaan mereka.
Namun, satu persoalan lebih besar perlu ditanya, adakah kebolehan menggunakan AI secara automatik bermaksud seseorang usahawan mampu memperoleh nilai ekonomi daripadanya Jawapannya tidak semestinya.
Cabaran seterusnya dalam pendigitalan usahawan mungkin bukan lagi soal akses kepada AI, tetapi jurang antara menggunakan AI dengan memanfaatkan AI secara strategik.
Jurang ini boleh difahami sebagai “AI utilisation gap” keadaan apabila seseorang mempunyai akses dan mengetahui asas penggunaan AI, tetapi masih belum mampu menterjemahkan teknologi tersebut kepada produktiviti, komunikasi pelanggan dan hasil perniagaan.
Apabila Usahawan Sendiri Mencuba
Persoalan ini menjadi lebih menarik apabila diperhatikan dalam latihan “From Content to Cash” melibatkan usahawan di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).
Dalam kursus Gen AI dalam Strategi Jualan Live, peserta tidak sekadar mendengar penerangan tentang teknologi. Mereka terus mencuba AI menggunakan konteks produk dan perniagaan masing-masing.
Keterujaan peserta jelas apabila mereka melihat bagaimana AI boleh membantu menghasilkan pembukaan untuk sesi live, menyusun penerangan produk, menjangka soalan pelanggan dan membina call-to-action dalam tempoh yang singkat.
Lebih menarik, mereka boleh meminta AI menghasilkan versi lain, memperbaiki ayat atau menyesuaikan mesej kepada kumpulan pelanggan yang berbeza. Reaksi tersebut memberi satu petunjuk penting.
Usahawan tidak semestinya teruja terhadap AI kerana kecanggihan teknologinya. Mereka teruja apabila dapat melihat kaitan langsung antara AI dengan masalah yang mereka hadapi setiap hari.
Daripada Literasi AI kepada Keupayaan AI
Di sinilah latihan AI perlu bergerak ke tahap seterusnya. Literasi asas diperkenalkan dengan kemahiran mengetahui cara membuka aplikasi AI dan menaip prompt dengan betul. Akan tetapi, seseorang usahawan memerlukan lebih daripada itu.
Mereka perlu mengetahui bila AI patut digunakan, masalah apa yang boleh dibantu oleh AI, bagaimana menilai jawapannya dan bagaimana menukarkan output tersebut kepada tindakan perniagaan.
Ini ialah peralihan daripada AI literacy kepada AI capability. Sebagai contoh, menghasilkan 50 kapsyen dengan AI mungkin menunjukkan seseorang tahu menggunakan teknologi.
Tetapi memilih satu mesej yang tepat untuk menjawab masalah pelanggan, menyesuaikannya dengan identiti perniagaan dan menggunakannya untuk membina kepercayaan menunjukkan keupayaan menggunakan AI secara strategik.
Kandungan Banyak Tidak Semestinya Menjual
Gen AI telah menjadikan penghasilan kandungan semakin mudah. Namun, apabila semua orang boleh menghasilkan kandungan dengan pantas, jumlah kandungan bukan lagi kelebihan utama.
Kelebihan akan datang daripada keupayaan menghasilkan komunikasi yang relevan, dipercayai dan mampu menggerakkan tindakan. Dalam konteks live selling, komunikasi perlu membawa pelanggan melalui perjalanan minat, yakin dan akhirnya beli. AI boleh membantu pada ketiga-tiga peringkat tersebut.
Namun, teknologi tidak boleh menggantikan pemahaman manusia terhadap manusia.
Daripada “Content Generator” kepada “Business Communication Co-Pilot”
Pengalaman latihan bersama usahawan MBPJ membuka ruang kepada satu cara baharu melihat penggunaan AI dalam pembangunan usahawan. Ini dapat dilihat melalui AI berperanan bukan sekadar sebagai content generator, tetapi AI boleh dikembangkan sebagai business communication co-pilot.
Usahawan bukan sahaja meminta AI menulis kandungan, tetapi boleh menggunakannya untuk membuat simulasi komunikasi pelanggan. Contohnya, bertindak sebagai pelanggan yang masih ragu-ragu dengan produk saya. Berikan lima soalan sukar sebelum membuat pembelian.”
Daripada situ, usahawan boleh berlatih menyediakan jawapan. Ini mengubah fungsi AI daripada sekadar content generation kepada communication rehearsal, customer simulation dan decision support. Potensi inilah yang perlu diberikan perhatian dalam latihan keusahawanan berasaskan AI.
Daripada Content kepada Nilai Ekonomi
Justeru, impak latihan AI juga tidak seharusnya dinilai berdasarkan berapa banyak aplikasi diperkenalkan kepada peserta.
Ukuran yang lebih bermakna ialah sama ada AI membantu mengurangkan masa bekerja, meningkatkan kualiti komunikasi, membina keyakinan melakukan live, meningkatkan interaksi pelanggan atau akhirnya membantu mencipta nilai ekonomi.
Di sinilah konsep “From Content to Cash” menjadi signifikan. AI tidak seharusnya berhenti pada penghasilan kandungan. Perjalanannya perlu bergerak daripada idea, kandungan, komunikasi, kepercayaan, tindakan dan nilai ekonomi.
Kerjasama MBPJ dan USM menunjukkan bahawa pembangunan kapasiti AI boleh dibawa terus kepada komuniti usahawan dan diterjemahkan kepada situasi sebenar perniagaan.
Keterujaan yang ditunjukkan oleh peserta pula memberikan isyarat bahawa masyarakat bersedia meneroka AI apabila teknologi diperkenalkan dalam bahasa dan konteks yang dekat dengan keperluan mereka. Maka, cabaran kita selepas ini bukan sekadar memastikan lebih ramai usahawan “tahu AI”.
Cabaran sebenar ialah memastikan mereka tahu apa yang perlu dilakukan dengan AI. Ini kerana dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi, kelebihan bukan semata-mata terletak pada siapa yang mempunyai akses kepada kecerdasan buatan.
Kelebihan sebenar terletak pada siapa yang mampu menukarkan kecerdasan buatan kepada kecerdikan berniaga.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Kamaruzzaman Abdul Manan
Pensyarah Universiti
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia