fb fb fb fb fb

The Arnott's Group jadikan Kuala Lumpur sebagai hab Asia

(Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) selepas Majlis Pelancaran Hab Asia The Arnott’s Group di ibu negara)

KUALA LUMPUR, 24 Ogos- Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Hab Asia oleh pengeluar makanan terkemuka antarabangsa, The Arnott’s Group mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai lokasi pelaburan pilihan.

Ini bersandarkan kepada kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini, infrastruktur mantap, ekosistem perniagaan yang rancak, serta tenaga kerja dinamik.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan, pelaburan besar tersebut akan melahirkan peluang ekonomi positif bagi negara.

Ini sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang mengutamakan teknologi canggih dan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global.

"Tahun lepas, Australia merupakan rakan niaga perdagangan terbesar ke13 Malaysia. Perdagangan kita dengan Australia pada tahun 2021 merakamkan kenaikan kira-kira 30% dengan nilai AS$14 bilion berbanding tahun 2020, yang benar-benar menjelaskan keyakinan yang kuat dan minat yang menarik dalam kalangan perniagaan perniagaan luar," katanya.

Ketika ini, pasaran Asia menyumbang jualan melebihi 1 bilion ringgit kepada syarikat itu.

Hasil tahunan dianggarkan mencecah 2.5 bilion ringgit dalam tempoh 10 tahun.

1 (Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Hab Asia oleh pengeluar makanan terkemuka antarabangsa, The Arnott’s Group
mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai lokasi pelaburan pilihan)

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Hab Asia The Arnott’s Group di ibu negara.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, engarah Urusan TAG Asia, May Lim berkata rantau ini dijangka menggandakan perbelanjaan makanan tahunannya daripada US$4 trilion (US$1=RM4.485) kepada US$8 trilion menjelang 2030.

“Hab ini mempunyai pasukan kepimpinan terpusat di Kuala Lumpur yang bertanggung jawab untuk menyepadukan operasi di seluruh Asia bagi meneruskan rancangan pertumbuhan kami.

“Kami memilih Kuala Lumpur sebagai hab memandangkan ia terletak pada kedudukan strategik serta sebagai platform yang menjadi kebiasaan untuk ke pasaran Asia, mempunyai bakat berkemahiran serta dasar kerajaan yang menyokong,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran hab itu di sini hari ini.

Lim berkata pada masa ini perniagaan di Asia menyumbang perolehan melebihi RM1 bilion bersamaan satu perempat daripada jumlah perolehan tahunan TAG, manakala perolehan tahunan TAG diunjurkan mencecah RM2.5 bilion dalam tempoh 10 tahun.

“Hab Asia penting untuk kejayaan TAG pada masa depan. Kami menyasarkan rancangan pertumbuhan tiga peringkat, dan Kuala Lumpur dalam kedudukan teratas untuk disenarai pendek sebagai pusat pengembangan.

“Malaysia ialah hab halal terkemuka di dunia dan kami berhasrat untuk memacu pensijilan halal bagi jenama kami di hab pembuatan baharu ini serta akan dieksport ke seluruh dunia,” katanya.

Rancangan pengembangan tiga peringkat TAG yang dijangka bermula sebelum akhir tahun ini akan melibatkan pelaburan $50 juta dolar Australia dalam hab pembuatan dan pengambilan lebih 200 pekerja bagi pekerjaan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi; hab rantaian bekalan untuk menggabungkan semua perolehan, logistik, kejuruteraan dan pengurusan kawasan; hab penyelidikan dan pembangunan yang menyatukan kilang rintis, pembangunan produk autonomi serta inovasi dan sensori.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata, ketika ini TAG sedang giat berbincang dengan kerajaan mengenai peluang untuk merancakkan rancangan pengembangannya di ibu negara Malaysia.

“Kuala Lumpur adalah pusat kepada hab serantau kami. Ia merupakan pangkalan pemunggahan utama dan menawarkan akses mudah kepada rangkaian pembekal tempatan yang lebih luas dan terhubung erat dengan pengeluar makanan di seluruh Asia.

"Oleh itu, Kuala Lumpur bersesuaian untuk kami menghasilkan makanan berkualiti, enak dan mencipta detik-detik manis untuk pelanggan di seluruh Asia,” katanya.

Lim berkata kumpulan itu turut berhasrat memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia untuk mendorong automasi dan operasi berteknologi tinggi, seiring dengan Industri 4.0 melalui pemindahan teknologi, meningkatkan kemahiran kakitangan tempatan dan rakan niaga. 

“Kami juga boleh memacu hasil ekonomi yang kukuh menerusi kerjasama dengan pembekal dan pengeluar makanan tempatan. Kami turut berhasrat mewujudkan lebih banyak pekerjaan berteknologi tinggi melalui pemindahan teknologi, latihan amali dan program latihan kemahiran dengan universiti-universiti tempatan,” katanya.

Media Baharu