fb fb fb fb fb

Sime Darby pantau kesan penyusutan ringgit, jejas margin perniagaan

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property BHD, Datuk Azmir Merican

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Sime Darby Property Bhd memantau rapat kesan penyusutan ringgit kepada kos bahan binaan selain memastikan sebarang kenaikan adalah terkawal.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Azmir Merican berkata, kesan kadar pertukaran mata wang akan dirasai memandangkan bahan mentah dalam sektor pembinaan diimport, sekali gus memberi kesan kepada margin perniagaan.

"Saya berharap makro ekonomi kekal stabil dan jika dilihat kepada prospek ringgit, berdasarkan laporan dikeluarkan, ringgit dijangka mengukuh menjelang akhir tahun ini. Jadi saya tidak fikir pemaju akan menghadapi masalah kenaikan harga atau terpaksa memindahkan kos kepada pengguna,"katanya.

Sementara itu, beliau berharap prospek industri hartanah lebih baik tahun ini, disokong penurunan kadar faedah secara beransur-ansur di Amerika Syarikat dan United Kingdom selain pengukuhan pasaran buruh.

Jelasnya, penurunan kadar faedah akan memberi kesan atau mempengaruhi keputusan monetari bank lain di seluruh dunia, secara tidak langsung menjadikan harga rumah lebih murah. 

Beliau berkata demikian pada taklimat keputusan tahun kewangan 2023 syarikat berkenaan yang diadakan secara maya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE