fb fb fb fb fb

Sektor pekerjaan tidak formal dipertimbang dalam RMKe-13

Dr. Zunika Mohamed

KUALA LUMPUR, 26 Februari- Laporan Bank Dunia mengenai sektor pekerjaan tidak formal di Malaysia akan dikaji untuk dipertimbangkan dalam rangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed, kajian itu termasuk risiko dalam pekerjaan, kadar pendapatan, akses kepada perkhidmatan kewangan dan cabaran dalam pembangunan kerjaya.

Jelasnya, cabaran dalam pekerjaan tersebut memerlukan strategi yang komprehensif untuk menangani isu yang berkaitan.

"Laporan itu menekankan bahawa peruntukan sedia ada untuk pekerja tidak formal yang bekerja dalam konteks simpanan dan perlindungan persaraan terhadap risiko kesihatan dan kecederaan masih gagal memenuhi keperluan mereka.

"Ketidakupayaan atau keengganan pekerja ke arah membuat caruman dalam skim insurans sosial menambahkan lagi perbezaan dalam perlindungan sosial untuk pekerja tidak formal," katanya ketika berucap pada pelancaran Laporan Trend, Cabaran dan Peluang untuk Pembaharuan ‘Pekerjaan Tidak Formal di Malaysia di sini.

Tambahnya, meningkatkan kebajikan pekerja tidak formal akan terus menjadi salah satu keutamaan kerajaan seperti diketengahkan dalam kajian Separuh Penggal RMKe-12.

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta geran padanan caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

SITI AISHAH BINTI MD ISA