KUALA LUMPUR, 30 Disember - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah selesai memproses dan mengkreditkan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM4 bilion kepada 110,074 pembayar cukai dalam tempoh 9 hingga 24 Disember 2025.
Kenyataan LHDN menyebut, pembayaran ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepatkan penyelesaian tunggakan kepada pembayar cukai.
"Bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Disember 2025, HASiL telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion, melibatkan 3,632,003 kes," kata kenyataan itu.
Menurut LHDN, bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember, sejumlah RM15 bilion telah diproses dengan lebih tiga juta kes direkodkan, manakala untuk tempoh 9 hingga 15 Disember, 16 hingga 18 Disember, 19 hingga 22 Disember dan 24 Disember, masing-masing RM1 bilion telah dikreditkan kepada pembayar cukai.
Dana tambahan RM1 bilion pertama juga telah berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia lebih tiga tahun, tanpa mengira jumlah yang terlibat.
RM3 bilion selebihnya diberikan kepada pembayar cukai dengan tunggakan berusia dua hingga tiga tahun, khususnya syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pembayar cukai dinasihatkan agar memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi memudahkan proses pembayaran balik.
Ini berikutan sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul, selain tiada bayaran balik dapat diproses.
"LHDN akan terus memastikan bayaran balik dilaksanakan secara teratur dan berperingkat, mengutamakan jumlah bayaran balik yang besar serta memberi keutamaan kepada PKS," jelas LHDN.