fb fb fb fb fb

Pelabur disaran lebih selektif, pelbagaikan pelaburan menjelang 2026

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 30 Disember -Para pelabur disaran mengambil pendekatan yang lebih selektif dan berdisiplin dengan mempelbagaikan pelaburan melangkaui syarikat teknologi berskala besar serta memilih komoditi secara berhati-hati.

Pengurus Portfolio Kanan Ekuiti Manulife Investment Management (Manulife IM), Kenglin Tan berkata, tumpuan itu perlu diberi kepada kualiti, dan aliran tunai yang kukuh, khususnya dalam bidang penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Pendekatan itu dilihat mampu mengurangkan kesan ketidaktentuan global, sekali gus meningkatkan daya tahan syarikat dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

"Kami melihat kepentingan untuk memberi tumpuan kepada syarikat yang memiliki keupayaan teknologi kukuh dan mampu mengikuti perkembangan rantaian bekalan AI generatif, terutamanya dalam sektor semikonduktor serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dipacu AI,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Manulife IM menjangkakan persekitaran ekonomi global kekal berdaya tahan menjelang 2026, meskipun pelabur terus berdepan risiko tarif dan ketidaktentuan dasar.

Keadaan itu disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil serta keadaan kewangan global yang masih relatif akomodatif.

Pakar Strategi Makro Global Kanan Manulife IM, Yuting Shao, berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global terus menunjukkan ketahanan walaupun ketidaktentuan ekonomi semakin meningkat.

Menurut beliau, pertumbuhan yang mampan kekal penting bagi menyokong permintaan global, khususnya bagi ekonomi berorientasikan eksport seperti Malaysia.

"Dasar monetari yang sesuai amat penting bagi mengekalkan kredibiliti bank pusat ketika penggubal dasar mengimbangi keperluan mengawal inflasi domestik dengan usaha memastikan kestabilan kewangan." katanya dalam kenyataan sama.

Pada masa sama, disiplin fiskal turut dilihat kritikal bagi mengekalkan keyakinan pelabur serta menyokong keputusan pelaburan jangka panjang.

TETITIA YUSOFF