KUALA LUMPUR, 30 Disember -Penyedia perkhidmatan e-hailing global, InDrive, menyasarkan peningkatan bilangan pemandu sebanyak 20 peratus berbanding jumlah semasa yang hampir mencecah 40,000 pemandu aktif.
Pengurus Operasi Pemandu InDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, sasaran itu selaras dengan pelan pengembangan syarikat ke beberapa bandar utama dan destinasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Bandar utama yang menjadi fokus kami adalah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru. Walaupun begitu, kami tidak mengehadkan operasi hanya di ketiga-tiga bandar ini. Kami merancang untuk memperluaskan perkhidmatan ke kawasan pelancongan lain seperti Melaka, Ipoh, Langkawi dan lain-lain,” katanya kepada pemberita RTM.
Tambah beliau, InDrive komited menggunakan pendigitalan bagi menarik lebih ramai pemandu, selain menyediakan kemudahan kepada penumpang dan penghantar barangan.
Pada masa sama, InDrive juga bakal melancarkan inisiatif khusus untuk meningkatkan akses mobiliti bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), sejajar dengan usaha memperluaskan akses pengangkutan kepada semua lapisan masyarakat.
Sebelum ini, InDrive mengumumkan sasaran untuk mencapai 40,000 pemandu aktif di Malaysia tahun ini hampir direalisasikan, dengan kira-kira 95 peratus daripada sasaran tersebut telah dicapai setakat ini.