KUALA LUMPUR, 30 Disember -Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) giat melaksanakan projek pengembangan strategik bernilai 70 juta euro (RM333.4 juta) di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokçen (ISG), Turkiye.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pelaburan itu termasuk modernisasi dan pengoptimuman Terminal 1, bagi menyokong pertumbuhan penumpang yang berterusan serta memperkukuh kapasiti dan aliran penumpang secara teratur dan terancang.
"Ia mencerminkan bagaimana kami merancang, melabur, dan mengendalikan lapangan terbang untuk jangka panjang. Falsafah yang sama turut menjadi asas kepada usaha berterusan kami di lapangan terbang di Malaysia, di mana perancangan untuk permintaan masa hadapan kekal sebagai keutamaan bagi mengekalkan operasi yang boleh dipercayai serta piawaian perkhidmatan yang konsisten," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas MAHB, strategi pelaburan itu juga bertujuan mengukuhkan prestasi lapangan terbang sambil mengekalkan keselesaan penumpang dan kestabilan operasi.
MAHB memaklumkan fasa 1 pengembangan ISG juga telah dirasmikan baru-baru ini selepas kerja pengubahsuaian dan pengoptimuman Terminal 1 siap, mencerminkan perancangan infrastruktur jangka panjang untuk menyokong pertumbuhan masa hadapan.
Antara ciri yang dinaik taraf di terminal 1 berkenaan ialah pembinaan jambatan penghubung keluli sepanjang 240 meter yang menghubungkan Terminal 1 dan Terminal 2, sekaligus menjadi yang pertama seumpamanya di Turkiye.
Struktur itu membolehkan pergerakan penumpang lebih lancar, mengoptimumkan penggunaan ruang dan meningkatkan sambungan antara terminal, selain menekankan aspek praktikal dalam reka bentuk yang berpusatkan penumpang.
Projek pengembangan itu dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokçen (HEAŞ), Istanbul Sabiha Gokçen International Airport Investment Development and Operation Inc, serta MAHB.
ISG merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Turkiye dan antara hab penerbangan yang berkembang pesat di Eropah, dengan reko pertumbuhan trafik yang berterusan, mengendalikan lebih daripada 40 juta penumpang setiap tahun.
Penumpang antarabangsa kini mewakili lebih separuh daripada jumlah trafik penumpang, menekankan kepentingan memastikan kapasiti dan proses sentiasa sejajar dengan permintaan.