fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup rendah berbanding Dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Kenaikan ringgit terencat untuk ditutup rendah berbanding dolar US hari ini berikutan kebimbangan terhadap data indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan kemudiannya, mengalihkan minat pelabur kepada mata wang selamat termasuk dolar US, kata peniaga.

Pada 6.00 petang, ringgit menyusut kepada 4.6425/6455 berbanding dolar US daripada 4.6400/6440 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa USD/MYR berlegar sekitar RM4.64 hingga RM4.65 hari ini selepas pasaran menunggu data CPI AS yang akan dikeluarkan malam ini.

“CPI AS malam ini agak kritikal dalam menentukan masa pemotongan kadar faedah AS. Sekiranya CPI ternyata lebih tinggi daripada jangkaan, ia boleh menyebabkan pengukuhan dolar US,” katanya.

Seorang peniaga lain pula berkata Presiden Rizab Persekutuan Bank of New York, John Williams semalam mengumumkan masih terlalu awal untuk melaksanakan sebarang pemotongan kadar kerana bank pusat itu masih mempunyai ruang bagi mengurangkan inflasi kembali kepada sasaran 2.0 peratusnya.

Sementara itu, pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lemah berbanding euro kepada 5.0896/0929 daripada 5.0789/0833, susut berbanding pound British kepada 5.9141/9179 daripada 5.9044/9095 tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1896/1919 daripada 3.2018/2047

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4901/4926 daripada 3.4851/4883 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.30 daripada 8.24/8.25.

Mata wang tempatan turut melemah berbanding rupiah Indonesia pada 298.5/298.8 daripada 297.9/298.4 sebelum ini tetapi mantap berbanding baht Thailand kepada 13.2408/2551 daripada 13.2598/2777.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN