KUALA LUMPUR, 11 Januari- Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat secara marginal 0.6 peratus tahun ke tahun pada November 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia meningkat selepas mencatatkan pertumbuhan pada bulan sebelumnya.
Peningkatan tersebut disokong oleh pertumbuhan sederhana dalam sektor perlombongan dan elektrik.
Sementara itu, sektor pembuatan menurun selepas tumbuh positif dua bulan berturut-turut.
Penurunan berkenaan adalah disebabkan oleh pengeluaran output yang lebih rendah dalam industri berorientasikan eksport.
Industri berorientasikan domestik pula kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan yang didorong oleh pembuatan produk prosesan makanan dan pembuatan produk logam.