KUALA LUMPUR, 11 Julai - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus disifatkan sebagai langkah strategik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global.
Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penurunan kadar pinjaman akan meningkatkan kecairan pasaran, merancakkan aktiviti perniagaan serta memberi kelegaan kepada peminjam.
“Dengan kos pinjaman yang lebih rendah, rakyat akan memiliki lebih banyak pendapatan boleh guna, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup mereka,” jelasnya.
Langkah itu juga dilihat penting untuk memperkukuh ekonomi dalam negara, terutamanya sekiranya tarif Amerika Syarikat memberi kesan terhadap eksport tempatan.
Menurutnya, permintaan domestik perlu dipertingkat bagi menampung sebarang kelembapan dalam perdagangan antarabangsa.
Tambah beliau, OPR yang lebih rendah dijangka menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi sepanjang tahun ini serta membantu negara mengharungi cabaran ekonomi semasa.