fb fb fb fb fb

Ringgit teruskan momentum mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 30 Disember -Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang sebaliknya susut menjelang penerbitan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hari ini.

Pada jam 8 pagi, nilai ringgit meningkat kepada 4.0500/0670 berbanding dolar AS daripada paras 4.0580/0625 pada akhir urus niaga semalam.

Mengikut laporan, minit mesyuarat FOMC itu dijangka menjadi tumpuan utama pasaran hari ini ketika kalendar ekonomi di kebanyakan pasaran terus lengang menjelang cuti Tahun Baharu.

Pada masa sama, pelabur kekal menjangkakan penurunan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan AS pada 2026 yang menyusuli pengurangan sebanyak 25 mata asas yang dilaksanakan pada mesyuarat dasar pada Disember.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata daya tahan ringgit kini semakin disokong oleh dinamik aliran domestik berbanding sentimen risiko luaran.

Menurutnya, keadaan mudah tunai pada akhir tahun dijangka kekal tipis, namun hala tuju aliran asas atau pendasar kekal memihak kepada mata wang tempatan.

“Langkah seperti penukaran hasil eksport, aliran masuk portfolio dan aktiviti lindung nilai korporat terus cenderung memihak ringgit, sekali gus mewujudkan penawaran dolar AS yang berterusan di pasaran tempatan.

“Oleh itu, sebarang kenaikan dolar AS dalam dagangan harian berkemungkinan disusuli dengan jualan oleh pengeksport serta permintaan wang terhadap aset ringgit yang mengehadkan pergerakan dolar AS-ringgit walaupun dalam persekitaran dagangan yang lebih lengang,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu naik berbanding euro kepada 4.7677/7877 daripada 4.7787/7840, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4711/4941 daripada 5.4742/4803 namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5970/6082 daripada 2.5956/5987, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding mata wang negara ASEAN lainnya.

Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1505/1642 daripada 3.1572/1610 semalam, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7910/8540 daripada 12.8985/9190, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 241.2/242.3 daripada 241.7/242.1 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.92 daripada 6.90/6.91 sebelum ini. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF