KUALA LUMPUR,1 Oktober - Pengguna kewangan yang memohon pembiayaan peribadi dengan jumlah melebihi RM100,000 perlu melengkapkan modul pendidikan kewangan.
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, bagi tujuan itu, mereka harus hadir ke premis penyedia perkhidmatan kewangan (FSP) atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Ia antara keperluan baharu berkuat kuasa pada 30 September 2025 yang ditetapkan BNM menerusi Dokumen Dasar Pembiayaan Peribadi.
Keperluan baharu yang lain termasuk memastikan pelaporan yang jelas oleh penyedia perkhidmatan kewangan mengenai jangkaan sedia ada BNM.
"Ini berhubung penggunaan tempoh maksimum 10 tahun untuk pembiayaan yang ditawarkan di bawah produk pembiayaan rumah atau dijamin oleh harta tanpa halangan untuk kegunaan peribadi," menurut kenyataan BNM.
Selain itu, tawaran pembiayaan peribadi di mana caj faedah atau keuntungan dikira menggunakan kaedah kadar rata dan/atau Peraturan 78 adalah dilarang.
Keperluan seterusnya adalah mengukuhkan jangkaan bagi penyedia perkhidmatan kewangan untuk mendedahkan kadar faedah atau keuntungan berkesan kepada pengguna kewangan.
Dokumen Dasar Pembiayaan Peribadi bertujuan menggalakkan amalan pembiayaan berhemah dan bertanggungjawab berkenaan penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan.
Pada masa sama, menggalakkan amalan peminjaman yang bertanggungjawab oleh pengguna kewangan.