KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Bursa Malaysia memulakan dagangan hari ini dengan lebih tinggi, menjejaki prestasi semalaman Wall Street walaupun awal urus niaganya tidak menentu ketika sebahagian besar peniaga mengetepikan kebimbangan mengenai kemungkinan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.69 mata kepada 1,613.57 berbanding 1,611.88 pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.74 mata pada 1,612.62.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 164 berbanding 159 manakala 307 kaunter tidak berubah, 1,927 kaunter tidak diniagakan dan lima lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 166.13 juta unit bernilai RM73.59 juta.
Naib Presiden Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata meskipun wujud kebimbangan terhadap penutupan kerajaan AS, sentimen pasaran dipacu oleh penutupan Wall Street yang lebih tinggi, ketiadaan data pekerjaan untuk September serta kemungkinan agensi penarafan bertindak menurunkan penarafan negara maju itu.
Foto Reuters
Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat sedikit kepada 4.154 peratus.
Thong berkata, Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak ketara dan menghampiri paras 27,000 sebelum ditutup esok bersempena cuti umum Hari Kebangsaan.
Sentimen pasaran secara menyeluruh dipacu jangkaan Beijing akan melaksanakan lebih banyak langkah rangsangan susulan data aktiviti pembuatan China yang suram apabila susut bagi tempoh enam bulan berturut-turut.
Di peringkat domestik, FBM KLCI melantun ke wilayah positif walaupun berlaku jualan mengejut ketara pada tempoh sejam sebelum dagangan ditutup, semalam.
“Kami menjangkakan ini mungkin didorong oleh dana asing. Pertumbuhan pinjaman yang menggalakkan bagi Ogos pada kadar 5.6 peratus, berkemungkinan menarik semula minat terhadap segmen perbankan.
“Berikutan itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,605 hingga 1,615 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi seperti SD Guthrie mencatat kenaikan 5.0 sen kepada RM5.27, Petronas Gas meraih 14 sen kepada RM18.64, Maxis menokok 3.0 sen kepada RM3.65, Hong Leong Bank meningkat 10 sen kepada RM20.62 dan Public Bank untung 1.0 sen kepada RM4.34.
Bagi saham aktif, NexG Bina dan Nova MSC masing-masing kekal pada 9.5 sen dan 5.5 sen, Key Asic untung setengah sen kepada 4.5 sen, Pharmaniaga sebaliknya susut setengah sen kepada 28.5 sen dan TWL meraih setengah sen kepada 3.0 sen.
Selain Petronas Gas dan Hong Leong Bank, kaunter utama lain yang mencatat untung termasuk Malaysian Pacific Industries yang melonjak 36 sen kepada RM29.08, Malayan Cement naik 7.0 sen kepada RM7.10 manakala Hong Leong Financial Group meraih 6.0 sen kepada RM17.28.
Kaunter rugi menyaksikan Petronas Dagangan susut 20 sen kepada RM22.74, KPJ Healthcare kehilangan 5.0 sen kepada RM2.70, Lianson Fleet Group turun 5.0 sen kepada RM1.38, IHH Healthcare menguncup 4.0 sen kepada RM7.51 manakala Pansar turun 3.5 sen kepada 56.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 11.07 mata kepada 11,996.96, Indeks FBMT 100 meningkat 11.08 mata kepada 11,733.70, Indeks FBM Emas Syariah naik 13.92 mata kepada 12,030.47, Indeks FBM 70 menambah 10.59 mata kepada 16,757.18 namun Indeks FBM ACE susut 2.36 mata kepada 5,168.95.
Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.30 mata kepada 171.76, Indeks Tenaga turun 0.50 mata kepada 776.12, Indeks Perladangan naik 24.51 mata kepada 7,804.09 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 34.90 mata kepada 18,281.63. -BERNAMA