KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Malaysia perlu memperkukuh tahap literasi digital bagi memastikan negara kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital serantau.
Pengarah Institut Pengantarabangsaan dan Kajian ASEAN (INTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Phar Kim Beng berkata meskipun akses kepada teknologi digital berada pada tahap baik, tahap penguasaan pengguna masih perlu dipertingkatkan.
Profesor Dr. Phar Kim Beng
“Institusi TVET boleh dijadikan sebagai pusat kemahiran dan peningkatan kemahiran bagi rakyat Malaysia merentas pelbagai peringkat usia. Kita juga harus sedar masih ada golongan yang kurang selesa menggunakan kod QR dan aplikasi digital.
“Selagi kelompok ini wujud, kita perlu memanfaatkan TVET dan program lain untuk melatih serta memberi pendedahan bagi mengurangkan ketakutan mereka terhadap teknologi,” katanya selepas program Biz Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Dalam konteks serantau, jelasnya, usaha meningkatkan literasi digital di peringkat nasional perlu dilengkapi dengan kerjasama lebih erat bersama Indonesia.
Beliau berkata, kedua-dua negara memiliki potensi besar untuk menerajui ekosistem ekonomi digital ASEAN, termasuk melahirkan lebih banyak syarikat pemula bertaraf global.
Tambahnya lagi, langkah itu sejajar dengan agenda membina ekosistem digital ASEAN yang berdaya tahan di bawah inisiatif Keberhasilan Utama Ekonomi (PED).