KUALA LUMPUR, 4 Julai - Pavilion Malaysia di Pameran Import Korea (KIF) 2025, di Pusat Konvensyen COEX, Seoul yang berlangsung dari 7 hingga 9 Julai, bakal menjadi ruang pameran nasional terbesar mengatasi Indonesia, Thailand dan Vietnam tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan penyertaan 12 syarikat tempatan dan satu agensi kerajaan dalam pameran antarabangsa tersebut.
''Ini mencerminkan komitmen negara untuk meluaskan perdagangan dan meningkatkan kehadiran dalam pasaran Korea,” jelas beliau.
Tambahnya, penyertaan Malaysia adalah hasil memorandum persefahaman antara MATRADE dan Persatuan Pengimport Korea tahun lalu, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan.
Langkah tersebut menandakan permulaan kepada kerjasama ekonomi yang lebih erat menjelang pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea.
Delegasi negara, diketuai MATRADE akan menampilkan produk gaya hidup, komunikasi dan teknologi maklumat, perkhidmatan perniagaan profesional serta makanan dan minuman.