KUALA LUMPUR, 4 Julai - Semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menaikkan kadar bilik hotel.
Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan semakan SST tidak melibatkan sebarang perubahan kepada cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas penginapan atau makanan dan minuman yang disediakan di hotel.
"Semakan SST tidak memberi kesan ke atas barangan keperluan harian asas, namun mungkin memberi kesan tidak langsung kepada hotel melalui peluasan skop cukai perkhidmatan ke atas penyewaan premis komersial serta cukai jualan ke atas makanan tertentu seperti makanan laut premium dan buah-buahan import.
"Bagaimanapun, kesan tidak langsung ini dijangka tidak menyebabkan peningkatan kos operasi hotel sehingga 10 hingga 15 peratus," kata MOF.
Kementerian itu mengulas mengenai kemungkinan kenaikan kadar bilik hotel sehingga 15 peratus, susulan peluasan skop SST seperti dakwaan beberapa persatuan hotel.
Jelas MOF, sekiranya terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik dengan menjadikan semakan SST sebagai alasan, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti perkara tersebut bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.