fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto getah

 KUALA LUMPUR, 26 Disember- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau yang kukuh berikutan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang rendah baru-baru ini meningkatkan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengurangkan kadar faedah tidak lama lagi.

Pengumuman China yang terkini mengenai langkah-langkah rangsangan yang akan datang turut membantu menaikkan sentimen, kata peniaga.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dalam persekitaran harga penanda aras minyak mentah tidak berubah,” katanya.

Menurut peniaga, niaga hadapan getah Jepun mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu hari ini, disokong oleh harapan lebih banyak rangsangan dalam pengguna utama China, walaupun yen yang lebih kukuh mengehadkan kenaikan.

Turut dilaporkan bahawa harga AS merosot pada November untuk kali pertama dalam tempoh lebih 3.5 tahun, mendorong kenaikan inflasi tahunan lebih rendah di bawah tiga peratus, meningkatkan jangkaan pasaran kewangan mengenai pengurangan kadar faedah daripada Fed pada Mac depan.

Peniaga juga berkata badan perancang utama China telah mengenal pasti kumpulan kedua projek pelaburan awam, dengan pelaburan lebih 560 bilion yuan untuk meningkatkan ekonomi.

Sementara itu, harga minyak kekal pada jajaran kecil dalam perdagangan Asia pada Selasa berikutan pasaran mempertimbangkan prospek gangguan bekalan yang berterusan di Laut Merah berbanding kebimbangan mengenai pengeluaran yang tinggi pada 2024.

Berbanding sesi penutup dagangan sebelum ini, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 12 sen kepada 687.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot satu sen kepada 534.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan untuk SMR 20 fizikal sebanyak 684.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 536.0 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup pada 25 Dis sempena cuti Hari Krismas.

ROSLINA BINTI DIN