KUALA LUMPUR, 15 Januari- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri kenaikan selama tujuh hari untuk ditutup rendah hari ini, menjejaki kelemahan dalam pasaran minyak kacang soya dan minyak mentah, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata prestasi eksport yang lebih rendah juga dilihat mengheret sentimen dalam tempoh terdekat.
“Sehubungan itu, kami melihat paras sokongan pada RM3,750 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM3,900 setan metrik,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, OCBC Global Markets Research menyemak semula harga MSM 2024 kepada purata RM3,650 satu tan, meningkat daripada jangkaan sebelumnya iaitu RM3,400.
Firma penyelidikan itu berkata semakan harga itu mencerminkan risiko bekalan apabila gangguan cuaca El Nino berterusan hingga 2024 dengan intensiti yang sederhana tetapi semakin meningkat.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Januari 2024 turun RM30 kepada RM3,750 setan metrik, Februari 2024 jatuh RM24 kepada RM3,803 satu tan metrik, Mac 2024 mengncup RM36 kepada RM3,818 setan metrik, April 2024 merosot RM43 kepada RM3,800 satu tan metrik, Mei 2024 turun RM44 kepada RM3,754 setan metrik dan Jun 2024 berkurangan RM42 kepada RM3,693 satu tan metrik.
Jumlah dagangan merosot kepada 66,811 lot daripada 83,644 lot pada Jumaat minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 264,178 kontrak daripada 202,342.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan turun RM10 kepada RM3,840 satu tan metrik.- BERNAMA