KUALA LUMPUR, 31 Disember – Rusia bersedia untuk memperluas kerjasama ekonomi dengan Malaysia, terutamanya dalam sektor strategik seperti semikonduktor dan tenaga nuklear.
Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov, berkata perdagangan dua hala antara Moscow dan Kuala Lumpur mencatat peningkatan kukuh sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu, dengan nilai dagangan mencecah AS$32 bilion setakat tahun ini.
Beliau yakin masih terdapat potensi perdagangan dan pelaburan yang belum diterokai, yang mampu menyumbang kepada peningkatan nilai dagangan antara kedua-dua negara.
“Justeru, kami bersedia untuk mengembangkan perdagangan dengan Malaysia dan yakin ia akan memberi manfaat bersama. Kami ingin meningkatkan bekalan tenaga, menjalin kerjasama dalam bidang nuklear, serta menambah bekalan peralatan perubatan dan farmaseutikal,” katanya pada sesi taklimat media di Kedutaan Rusia di Malaysia.
Naiyl Latypov turut menegaskan komitmen Moscow untuk terus meningkatkan import minyak sawit, produk pertanian, serta semikonduktor dari Malaysia, yang menunjukkan pertumbuhan kukuh sejak tempoh pandemik.
Beliau menambah bahawa tahun 2025 merupakan tahun yang amat bermakna bagi hubungan Rusia-Malaysia, dengan pelbagai kemajuan penting dicapai, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi yang penting dan dipercayai di rantau ini.