KUALA LUMPUR, 31 Disember - Sime Darby Property Berhad terus memperkukuh komitmennya terhadap pertumbuhan inklusif melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak langsung kepada komuniti dan alam sekitar di seluruh negara.
Fokus utama inisiatif tersebut merangkumi pemerkasaan ekonomi, pembangunan belia, dan kelestarian alam sekitar, sejajar dengan matlamat memperkukuh daya tahan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Antaranya termasuklah Program Pemerkasaan Ekonomi, yang menyokong pembangunan usahawan mikro dalam perbandaran Sime Darby Property.
Menerusi fasa kedua program ini, peserta mencatat purata peningkatan pendapatan sebanyak 242 peratus, dengan 79 peratus peserta memperoleh purata pendapatan bulanan RM7,643.
Peserta juga merekodkan peningkatan pengetahuan perniagaan dan pengukuhan kehadiran digital melalui platform seperti TikTok dan WhatsApp Business, sekali gus membantu peluasan pasaran dan kemampanan perniagaan jangka panjang.
Pada masa sama, Sime Darby Property memberi tumpuan kepada pembangunan belia dan pendidikan, dengan seramai 733 sukarelawan menyumbang hampir 3,000 jam khidmat komuniti.
Program 'Kembali Ke Sekolah' pula memberi manfaat kepada 894 pelajar daripada 10 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, dan Negeri Sembilan, manakala kerjasama bersama Kesatuan Ragbi Selangor melibatkan 130 pelajar bagi memupuk kepimpinan, disiplin dan semangat kerja berpasukan.
Sime Darby Property turut melaksanakan pelbagai kempen kitar semula dan biodiversiti bandar, termasuk Kempen Fabric Recycling Movement, yang berjaya mengumpul lebih 81,000 kilogram fabrik terpakai.
Usaha ini menyokong ekonomi kitaran dengan mengalihkan sisa tekstil daripada tapak pelupusan serta menggalakkan penggunaan bertanggungjawab.
Usaha kolektif tersebut menegaskan peranan Sime Darby Property sebagai pemaju bertanggungjawab dan berpaksikan tujuan, iaitu kejayaan tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui impak positif terhadap kehidupan masyarakat.