fb fb fb fb fb

Ringgit dibuka tinggi susulan penurunan dolar AS

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Disember - Ringgit meneruskan peningkatan, dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan penurunan mata wang AS itu selepas pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC)

Pada jam 8 pagi, nilai ringgit meningkat kepada 4.0425/0540 berbanding dolar AS daripada paras 4.0460/0505 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat FOMC pada mulanya memberi sokongan kepada dolar AS, namun memberi amaran bahawa pelonggaran monetari dalam persekitaran inflasi yang lebih tinggi berisiko menjejaskan kredibiliti dasar dalam menguruskan ekonomi.

“Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.21 peratus kepada 98.238 mata apabila para pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) AS berbelah bahagi (tidak sehaluan) mengenai prospek kadar dana Fed dengan sesetengahnya menyokong kepada langkah pergerakan lebih dekat ke tahap neutral untuk mencegah kelembapan pasaran buruh,” katanya.

Bagaimanapun, pelonggaran dasar dalam persekitaran inflasi lebih tinggi boleh memakan diri (mengundang kesan buruk) dan melemahkan kredibiliti dasar monetari, atas dasar itu, ringgit mungkin diniagakan antara RM4.05 dan RM4.06 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata minit mesyuarat itu mencadangkan bahawa penurunan kadar faedah pada masa depan akan menjadi lebih perlahan, lebih dipertikaikan dan lebih bergantung pada data daripada yang diandaikan sebelum ini.

“Jawatankuasa yang tidak sehaluan dan kesediaan untuk mengekalkan dasar yang ketat untuk tempoh lebih lama jika risiko inflasi berterusan, Fed AS telah meningkatkan jangkaan kadar faedah sebenar AS.

“Ini mengukuhkan hasil dolar AS dan tarikan aset selamat, memberi kesan kepada mata wang pasaran baharu muncul termasuk ringgit,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5850/5926 daripada 2.5948/5978 pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4440/4595 daripada 5.4678/4738, bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.7479/7614 daripada 4.7621/7674.

Ringgit didadagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1474/1566 daripada 3.1526/1566, berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 241.0/241.8 daripada 241.2/241.6 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.87/6.89 daripada 6.87/6.88.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8460/8924 daripada 12.8404/8620.- BERNAMA

 

GRACE AISYAH KEDAYAN