fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia kembali meningkat selepas dibuka rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Bursa Malaysia memulakan dagangan Selasa dengan lebih rendah namun kembali bertukar positif kemudiannya untuk meneruskan pengukuhan yang dicatatkan semalam.

Pasaran tempatan itu ternyata menongkah arus aliran serantau yang susut selepas saham-saham Amerika Syarikat (AS) ditutup bagi cuti umum ketika pelabur memperhalusi alasan di sebalik tindakan bank pusat China menangguhkan penurunan kadar faedah semalam, kata peniaga.

Pada 9.20 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.34 mata kepada 1,502.45 daripada paras 1,501.11 pada akhir urus niaga sebelum ini.

Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 0.81 mata kepada 1,500.82.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 248 berbanding 232 manakala 363 kaunter kain tidak berubah, 1,374 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 550.29 juta unit bernilai RM288.48 juta.

Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade berkata Wall Street ditutup bersempena cuti umum memperingati Martin Luther King Jr Day semalam, namun ramai menjangkakan pasaran kekal kurang memberangsangkan berikutan pelaporan pendapatan bercampur-campur daripada bank-bank yang memasuki tempoh suku keempat 2023.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mengakhiri dagangan yang susut selepas peniaga kecewa dengan tindakan bank pusat China, Peoples Bank of China bertindak mengekalkan kadar faedah selepas bank perdagangan utama negara itu menurunkan kadar deposit masing-masing.

Ini susulan data ekonomi yang kurang memberangsangkan dan hanya mencetuskan lagi persepsi bahawa lebih banyak langkah rangsangan ekonomi akan diperkenalkan.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI ditutup melangkaui paras 1,500 berikutan aktiviti belian saham-sahan wajaran tinggi.

"Namun, perlu diingatkan bahawa adalah penting untuk mengekalkan aktiviti belian terus ketara dan kekal melebihi paras 1,500 bagi meneruskan trajektori sihat untuk bursa tempatn. Berikutan itu, kami menjangkakan indeks itu akan bergerak dalam julat 1,500 hingga 1,510 pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut satu sen kepada RM9.07, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing turun dua sen kepada RM4.34 dan RM10.48; CIMB menambah dua sen kepada RM6.02 dan Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM6.96.

Bagi saham aktif, Tanco naik tiga sen kepada 65.5 sen, waran Insas dan Eastern and Oriental masing-masing menambah dua sen kepada 41.5 sen dan 95 sen, Sealink International meraih 1.5 sen kepada 23 sen manakala Hong Seng Consolidated tidak berubah pada 53.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 12.08 mata kepada 11,212.79, Indeks FBM 70 naik 33.95 mata kepada 15,216.61, Indeks FBMT 100 meraih 13.39 mata kepada 10,852.71, FBM Emas Shariah menokok 26.63 mata kepada 11,340.36 manakala Indeks FBM ACE turun 22.89 mata kepada 5,358.07.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.38 mata kepada 178.05; Indeks Tenaga meraih 2.72 mata kepada 869.37; Indeks Perladangan menambah 3.8 mata kepada 7,192.76 dan Indeks Perladangan menokok 3.64 mata kepada 919.58.

Indeks Perkhidmatan Kewangan sebaliknya susut 26.59 mata kepada 16,666.83.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN