fb fb fb fb fb

MYAirline digesa utamakan bayar tunggakan gaji

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 9 Mac - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa MYAirline supaya mengutamakan pembayaran tunggakan gaji daripada menunggu pelabur baharu.

MTUC menerusi kenyataan berkata, nasib pekerja syarikat penerbangan yang tidak dibayar gaji itu perlu dibela susulan kegagalan syarikat itu membayar gaji sejak Oktober 2023 hingga kini.

Menurut Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, alasan syarikat penerbangan tersebut tidak membayar gaji kerana menunggu pelabur baru mengambil alih syarikat merupakan alasan tidak munasabah memandangkan pembayaran gaji adalah perkara asas dalam pekerjaan.

"Keupayaan syarikat tersebut dalam mendapat pelabur baru amat diragui kerana pemberhentian operasi telah memasuki bulan ke-5.

"Maklumat yang menyatakan bahawa pelabur baru dari timur tengah telah menarik diri membuatkan pekerja tawar hati untuk menunggu," menurut Kamarul.

Justeru pihak MTUC turut menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) agar bertindak dan memaklumkan kepada semua pekerja terlibat mengenai status tuntutan gaji.

MTUC turut mencadangkan agar beberapa akta perlu di pinda supaya syarikat lebih bertanggungjawab kepada pekerja.

TETITIA YUSOFF