KUALA LUMPUR, 20 Januari- MSM Malaysia Holdings Bhd sedang dalam perancangan untuk menceburi bidang penanaman tebu huluan bagi memastikan keterjaminan gula mentah di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM Hasni Ahmad, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memenuhi hasrat tersebut.
"MSM perlu melihat dalam hal ini kerana kami merupakan pengeluar terbesar kilang gula negara, perlu ada untuk keterjaminan sekiranya apa-apa berlaku.
"Baru-baru ini Thailand dan India mengharamkan eksport mereka, sekiranya Brazil juga mengharamkan eksport mereka di mana kita akan mempunyai gula. Kami tidak mempunyai sumber, jadi kami perlu melihat perspektif keselamatan makanan,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Media ke kilang penapisan MSM, di Tanjung Langsat, Johor.
Pada Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata , industri tebu Malaysia akan dibangunkan untuk membantu memenuhi permintaan negara terhadap gula.
Ini berikutan penutupan ladang tebu tempatan di Chuping, Perlis, pada 2011 dan Malaysia bergantung sepenuhnya pengimportan gula mentah dari Brazil.
Melangkah ke hadapan, MSM juga merancang untuk mengeksport gula ke pasaran Singapura pada suku pertama atau kedua tahun ini, namun menurut Hasni, ia tidak akan menjejaskan pasaran tempatan.