fb fb fb fb fb

Minat belian pacu FBM KLCI, indeks komposit di paras tertinggi sejak Mei 2022

Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia meneruskan aliran peningkatannya dengan mengakhiri dagangan Selasa di paras tertinggi sejak Mei 2022, didorong oleh aktiviti belian kukuh yang didahului oleh kaunter YTL Corporation, Axiata dan YTL Power International / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia meneruskan aliran peningkatannya dengan mengakhiri dagangan Selasa di paras tertinggi sejak Mei 2022, didorong oleh aktiviti belian kukuh yang didahului oleh kaunter YTL Corporation, Axiata dan YTL Power International.

Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 11.20 mata kepada 1,558.80 daripada paras penutup semalam pada 1,547.60.

Saham YTL Corporation menokok 21 sen kepada RM2.71, Axiata naik 11 sen kepada RM2.85 manakala YTL Power meraih sembilan sen kepada RM4.15 dengan ketiga-tiga kaunter ini menyumbangkan gabungan 6.73 mata kepada indeks komposit.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.08 mata kepada 1,545.52 dan bergerak dalam julat 1,545.16 hingga 1,559.02 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Bagaimanapun, di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 570 berbanding 548 manakala 410 kaunter tidak berubah, 781 tidak diniagakan dan 47 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.88 bilion unit bernilai RM3.09 bilion daripada 3.74 bilion unit bernilai RM3.12 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan pasaran serantau pulih daripada penyusutan semalam, termasuk keuntungan ketara di China dan Hong Kong yang didorong oleh keyakinan pelabur.

Perkembangan itu berikutan laporan dana negara China menyuntik lebih US$57 bilion (US$1=RM4.77) bagi menyokong pasaran manakala pada masa yang sama menyaksikan aliran masuk dana global secara berterusan ke rantau ini.

“Di sudut lain, pelabur sebaliknya berhati-hati menunggu pengumuman pelbagai data ekonomi, termasuk indeks pengurus pembelian pembuatan China dan Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Amerika Syarikat (AS) yang bertindak sebagai pengukur inflasi pilihan Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Di peringkat tempatan, kami kekal optimis terhadap pasaran yang disokong oleh asas kukuh menerusi pembelian saham-saham mewah yang kukuh susulan pelaporan pendapatan suku tahunan yang mantap.

“Bagaimanapun, kami juga mengakui wujudnya peluang bagi pengambilan untung -- faktor yang tidak boleh dinafikan,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Thong menjangkakan FBM KLCI menyaksikan aliran pergerakan dalam jajaran 1,540-1,570 pada minggu ini manakala perspektif teknikal merangkumi paras rintangan segera pada 1,570 dan sokongan pada 1,534.

Sementara itu, saham wajaran tinggi lain termasuk Sime Darby Plantation menokok tujuh sen kepada RM4.30; Maxis menambah enam sen kepada RM3.83 namun Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM6.94 dan MISC berkurangan satu sen kepada RM7.50.

Bagi saham aktif, PUC meraih satu sen kepada 5.5 sen; Cape EMS turun 19.5 sen kepada 93.5 sen; Master Tec berkurangan setengah sen kepada 64.5 sen manakala Hong Seng Consolidated kekal tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menambah 57.35 mata kepada 11,554.63; Indeks FBMT 100 merosot 60.90 mata kepada 11,209.59; Indeks FBM Emas Shariah meraih 51.17 mata kepada 11,581.09; Indeks FBM 70 naik 3.07 mata kepada 15,510.80 dan Indeks FBM ACE susut 40.85 mata pada 4,804.95.

Bagi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 22.74 mata kepada 17,342.15; Indeks Perladangan menambah 23.37 mata kepada 7,183.06, Indeks Utiliti menokok 27.81 mata kepada 1,608.02; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.14 mata kepada 177.79 dan Indeks Tenaga susut 4.75 mata kepada 931.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.45 bilion unit bernilai RM2.78 bilion daripada 2.61 bilion unit bernilai RM2.87 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 743.51 juta unit bernilai RM119.68 juta daripada 717.03 juta unit bernilai RM100.59 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 669.73 juta saham bernilai RM187.75 juta daripada 412.27 juta saham bernilai RM144.75 juta, sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 420.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (474.88 juta); pembinaan (133.97 juta); teknologi (533.54 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (106.03 juta); hartanah (301.48 juta); perladangan (34.84 juta); REIT (14.38 juta), dana tertutup (91,800) tenaga (123.02 juta); penjagaan kesihatan (64.87 juta); telekomunikasi dan media (42.84 juta); pengangkutan dan logistik (35.56 juta) serta utiliti (165.30 juta).-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN