fb fb fb fb fb

Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi dengan Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat ke paras tertingginya sejak April 2017 pada 773.50 sen sekilogram, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen positif itu didorong oleh kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan jangkaan yang meningkat terhadap bekalan getah yang terhad daripada pengeluar utama Thailand, berikutan kebimbangan mengenai cuaca buruk.

Agensi meteorologi Thailand dilaporkan memberi amaran mengenai ribut musim panas di Thailand mulai 1-3 Mac, yang berpotensi menyebabkan kerosakan tanaman.

“Harga turut disokong oleh aliran meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan sentimen telah didorong lebih banyak langkah rangsangan oleh China.

“Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh penyusutan dalam penanda aras harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat 17.5 sen kepada 773.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal meraih 2.5 sen kepada 700.50 sen sekilogram.

Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah SMR 20 berada pada 769.50 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 703 sen sekilogram. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI