fb fb fb fb fb

Ketidaktentuan global, risiko geopolitik beri sokongan kepada niaga hadapan emas minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 13 Januari- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mendapat sedikit sokongan minggu depan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan risiko geopolitik, kata seorang peniaga.

Pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Indeks Dolar AS yang lemah, prospek penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan peningkatan risiko geopolitik di Timur Tengah sepatutnya menyediakan rangsangan kepada pasaran emas pada minggu depan.

“Untuk memastikan emas meningkat lebih tinggi, kita perlu melihat penurunan besar hasil dalam keluk kadar Amerika Syarikat (AS), kemungkinan besar didorong oleh data lemah atau permintaan terhadap bon AS sebagai bon selamat.

“Bagaimanapun, minggu depan, saya menjangkakan paras harga (emas) berada pada US$2,025 setiap auns troy sebagai paras sokongan dan US$2,055 setiap auns troy sebagai paras rintangan awal,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, jumlah dagangan niaga hadapan emas dalam pasaran tempatan jatuh kepada 202 lot daripada 891 lot yang diniagakan pada minggu sebelumnya.

Kepentingan terbuka turun kepada 111 kontrak daripada 313 kontrak sebelumnya.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Januari 2024 turun kepada US$2,045.0 setiap auns troy daripada US$2,048.90 setiap auns troy sebelumnya, manakala Februari 2024 susut kepada US$2,055.20 setiap auns troy daripada US$2,058.60 setiap auns troy.

Kontrak bagi Mac 2024, April 2024 dan Jun 2024 semuanya ditutup rendah masing-masing kepada US$2,061.7 setiap auns troy daripada US$2,065.10 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Menurut penetapan harga London Bullion Market Association pada 11 Januari, harga emas fizikal berada pada US$2,029.15 setiap auns troy. -BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE