fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan dengan jajaran kecil antara US$4,050 hingga US$4,100 setiap auns apabila para peserta pasaran menilai semula kedudukan mereka di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas semerta terus mengalami pembetulan menurun minggu ini, iaitu menyusut kepada US$4,055.86 setiap auns apabila peniaga dan pelabur mendapat keuntungan susulan kenaikan baru-baru ini.

"Setakat ini, harga merosot kira-kira 6.8 peratus daripada paras tertinggi baru-baru ini iaitu US$4,356.30. Pembetulan sebanyak 10 peratus dari puncak itu akan menunjukkan potensi penurunan kepada US$3,920.67 setiap auns bagi menamatkan fasa penyesuaian," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, di Amerika Syarikat (AS), Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi September yang dikeluarkan malam tadi menandakan laporan ekonomi utama pertama sejak penutupan kerajaan pada 1 Oktober.

Menurut laporan, data terkini menunjukkan IHP teras meningkat kepada 330.54 pada September daripada 329.79 pada bulan sebelumnya manakala kadar inflasi keseluruhan menurun kepada 3.0 peratus iaitu lebih rendah daripada jangkaan.

Pengeluaran IHP ini merupakan data penting terakhir yang akan diterima Rizab Persekutuan AS sebelum membuat keputusan mengenai kadar faedah minggu depan.

Berdasarkan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta Oktober 2025 turun kepada US$4,074.10 setiap auns troy daripada US$4,341.60 pada Jumaat minggu lepas, kontrak November 2025 menyusut kepada US$4,090.80 daripada US$4,358.30
sebelumnya.

Kontrak Disember 2025 berkurangan kepada US$4,10740 setiap auns troy daripada US$4,374.30 minggu lepas.

Kontrak Januari 2026 menyusut kepada US$4,124.40 setap auns troy daripada US$4,391.30 minggu sebelumnya manakala kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih rendah pada US$4,140.30 setiap auns troy daripada US$4,407.20 pada hujung minggu lepas.

Jumlah dagangan mingguan meningkat sedikit kepada 1,798 lot daripada 1,722 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 346 kontrak berbanding 171 kontrak sebelumnya.

Emas fizikal berada pada paras US$4,143.75 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 23 Okt, 2025. - BERNAMA

SITI AISHA MELISA YUHANIZ