fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka diniagakan tidak menentu minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 13 Januari- Bursa Malaysia dijangka diniagakan tidak menentu minggu depan memandangkan perubahan besar dalam situasi makro susulan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan yang boleh melewatkan lagi usaha negara itu untuk menurunkan kadar faedahnya.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng menjangka petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal stabil minggu depan sehingga perkembangan semasa ketika ini menjadi lebih jelas lagi.

"Pasaran kita mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan tahun lepas, jadi tahun ini ia akan berusaha untuk mencapai keputusan lebih baik. Justeru, ada peluang untuk meningkatkan prestasi tetapi kita perlu melihat kepada kadar faedah AS,” katanya kepada Bernama.

"Dengan inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, pakar ekonomi meramalkan Rizab Persekutuan AS (Fed) kemungkinan besar tidak akan menurunkan kadar faedahnya pada Mac depan, dengan ramai menjangkakan bank pusat itu akan menangguhkan langkah tersebut sehingga mesyuarat mereka pada Mei,” katanya.

Dari perspektif teknikal, Thong berkata FBM KLCI berundur selepas melepasi paras rintangan 1,500 pada Selasa, dan meskipun tidak berupaya bertahan pada paras melepasi 1,500, ia adalah satu pembetulan yang sihat untuk meningkat lebih tinggi lagi.

"Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran tidak berubah dengan kecenderungan meningkat dalam jajaran 1,475-1,495 pada minggu depan dengan paras sokongan segera pada 1,475 diikuti 1,465," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, FBM KLCI diniagakan kebanyakannya tinggi mencecah hampir ke paras tertingginya dalam tempoh setahun dan melepasi paras 1,500 pada Selasa.

FBM KLCI juga disokong oleh aktiviti belian yang rancak dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks petunjuk pasaran susut 0.27 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini kepada 1,487.34 berbanding 1,487.61 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 16.84 mata kepada 11,248.98, Indeks FBM 70 melonjak 103.94 mata kepada 15,163.81, Indeks FBM Emas naik 19.63 mata kepada 11,116.85, Indeks FBMT 100 menokok 17.51 mata kepada 10,761.88, manakala Indeks FBM ACE susut 56.84 mata kepada 5,381.43.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 25.89 mata kepada 865.71, Indeks Perladangan naik 71.01 mata kepada 7,101.93, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.14 mata kepada 175.85 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 32.29 mata kepada 16,550.04.

Jumlah dagangan mingguan menambah kepada 27.09 bilion unit bernilai RM16.66 bilion daripada 23.54 bilion unit bernilai RM12.68 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 18.34 bilion saham bernilai RM14.83 bilion daripada 15.41 bilion saham bernilai RM11.11 bilion.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 3.85 bilion unit bernilai RM474.42 juta daripada 2.93 bilion unit bernilai RM337.98 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 4.86 bilion saham bernilai RM1.35 bilion berbanding 5.09 bilion saham bernilai RM1.22 bilion pada minggu sebelumnya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE