KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Malaysia dan Afrika Selatan mengukuhkan komitmen strategik bagi memperluas kerjasama perdagangan dua hala, hasil pertemuan antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan rakan sejawatnya, Menteri Perdagangan, Industri dan Persaingan Afrika Selatan, Parks Tau.
Menurut Tengku Zafrul, kedua-dua negara bersetuju mengangkat Malaysia sebagai Gerbang ASEAN, manakala Afrika Selatan sebagai Gerbang ke Benua Afrika, sekali gus membuka laluan pasaran lebih luas kepada industri dan pelabur kedua-dua pihak.
“Fokus perbincangan termasuk peluasan akses PROTON di pasaran Afrika, potensi Afrika Selatan sebagai hab serantau minyak sawit Malaysia, serta kerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) dan industri halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerjasama itu dilihat mampu memacu pertumbuhan sektor automotif, teknologi hijau dan agro-komoditi, selain menyokong sasaran Malaysia untuk meningkatkan pelaburan bernilai tinggi dan melebarkan akses pasaran ke rantau Afrika.
Pertemuan tersebut turut menegaskan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk meneroka peluang baharu dalam rantaian bekalan serantau, sejajar peralihan global ke arah ekonomi lebih mampan dan berdaya saing.