fb fb fb fb fb

PPP25 bantu usahawan B40, pelajar IPT kuasai teknologi digital

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Gelombang pendigitalan terus diperkukuh apabila lebih 500 usahawan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi di Permatang Pauh, Pulau Pinang diberi suntikan ilmu baharu melalui Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sekali gus membuka laluan kepada generasi usahawan yang lebih kompetitif, berdaya saing dan berorientasikan teknologi.

Program berkenaan memfokuskan pendedahan strategi pemasaran digital, e-dagang serta aplikasi teknologi dalam dunia perniagaan moden, bagi membantu peserta meningkatkan produktiviti, mengukuhkan jenama dan menembusi pasaran yang lebih luas.

PPP25 merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk memperkukuh daya saing sektor perniagaan, selaras dengan aspirasi Dasar Pembangunan Ekonomi Inklusif dan Kesejahteraan Rakyat di bawah kerangka Malaysia MADANI.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penggunaan teknologi pemasaran digital dan e-dagang sebagai nadi utama kejayaan perusahaan moden.

“SSM sentiasa komited membantu usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk mengaplikasikan teknologi pendigitalan secara efektif dalam operasi perniagaan mereka,” kata Datuk Nor Azimah.

Antara pengisian utama program termasuk taklimat pendaftaran syarikat, kesedaran penipuan kewangan melalui slot Scam Alert, strategi pemasaran digital, serta perkongsian pengalaman usahawan berjaya.

PPP25 merupakan kesinambungan daripada Program Usahawan Muda dan Program Bimbingan Usahawan SSM, dan siri ketiga bagi 2025 selepas Sabah (21 Jun) dan Terengganu (13 September).

Selain itu, SSM turut menyampaikan agihan Wakalah Zakat Korporat dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM137,500 kepada usahawan, mahasiswa asnaf, institusi keagamaan, pusat kebajikan, sekolah dan akademi di Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, RM82,500 adalah agihan Wakalah Zakat Korporat, manakala RM55,000 disalurkan sebagai CSR kepada usahawan B40 dan organisasi kebajikan.

Menurut statistik SSM, sehingga 30 September 2025, Pulau Pinang mencatatkan 106,252 syarikat diperbadankan, 693,129 perniagaan dan 2,691 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT), dengan sebahagian besar daripadanya aktif.

Program PPP25 dijangka memperkukuh pemahaman dan kebolehan peserta dalam transformasi digital, seterusnya menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan di Pulau Pinang, sambil membuka peluang bagi usahawan muda dan golongan B40 meningkatkan keupayaan bersaing dalam ekonomi moden.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN