KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Pasaran saham global kembali rancak dimana faktor geopolitik yang sebelum ini membimbangkan kini reda, memberi keyakinan kepada pelabur.
Ketua Perhubungan Pelabur MBSB, Azharuddin Nordin berkata keadaan tersebut sekali gus akan menarik aliran masuk dana asing, dalam negara.
Namun begitu, pasaran saham tempatan masih kekal berhati-hati minggu ini disebabkan sentimen pelabur menjelang pengumuman Belanjawan 2025.
"Jika kita lihat dalam tempoh lima tahun sebelum ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) hanya naik purata 0.6 peratus pada minggu belanjawan, menandakan pelabur cenderung berhati-hati. Minggu ini, prestasi indeks komposit naik sebanyak 0.5 peratus, selari dengan trend sebelumnya," katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, Azharuddin berkata mata wang ringgit masih mengekalkan kedudukannya sebagai mata wang terbaik di Asia dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat setakat semalam.
Walau bagaimanapun, dolar Amerika kembali menunjukkan trend peningkatan berbanding kebanyakan mata wang dunia, termasuk ringgit.
Ini disebabkan data ekonomi positif dari negara maju tersebut menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan tidak berisiko menghadapi kemelesetan.