fb fb fb fb fb

FBM KLCI ditutup tinggi berikutan belian dalam saham terpilih

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Indeks Utama Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini berikutan pembelian sederhana dalam produk dan perkhidmatan pengguna, telekomunikasi dan saham perbankan dalam keadaan prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.43 mata atau 0.33 peratus, kepada 1,641.97 daripada 1,636.54 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 2.02 mata lebih kukuh kepada 1,638.56, bergerak antara 1,636.89 dan 1,643.64 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 558 berbanding 509, dengan 493 kaunter tidak berubah, 917 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan naik kepada 2.87 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 2.23 bilion unit bernilai RM2.09 bilion pada Isnin.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata, walaupun terdapat kebimbangan yang berlarutan mengenai pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) dan risiko geopolitik, pasaran menerima rangsangan daripada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Beliau (Anwar) menjelaskan bahawa GST hanya akan dilaksanakan semula sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada sekurang-kurangnya RM3,000, memberikan pelabur lebih keyakinan dan pandangan dasar yang lebih jelas.

"Sehubungan itu, saham pengguna dan telekomunikasi muncul sebagai prestasi terbaik dalam kalangan komponen FBM KLCI," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Sedek berkata, sektor hartanah dan perkhidmatan kewangan mendahului kaunter untung dalam kalangan indeks sektor bursa.

Momentum ini sebahagian besarnya adalah berikutan jangkaan yang meningkat menjelang pengumuman Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Jumaat ini.

"Pelabur menjangkakan kerajaan akan mengumumkan beberapa siri pelaburan strategik, terutama dalam infrastruktur, yang bertujuan mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, walaupun terdapat peningkatan baru-baru ini, firma itu kekal berwaspada dengan dagangan dalam jangka pendek berikutan jumlah dagangan harian kekal di bawah paras purata.

“Oleh itu, kami jangka indeks petunjuk pasaran mengekalkan trend diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan meningkat buat masa ini. Kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI kami pada julat 1,630-1,650,” kata Thong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Nestle naik RM3.50 kepada RM106.00, SD Guthrie menokok 12 sen kepada RM4.72, Maxis menambah 9.0 sen kepada RM3.75, Sunway meningkat 10 sen kepada RM4.45, Public Bank menokok 9.0 sen kepada RM4.48 dan Maybank menambah 12 sen kepada RM10.66.

Bagi kaunter aktif, syarikat yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE, Northeast Group menambah setengah sen kepada 50.5 sen,Focus Dynamics tidak berubah pada 2.0 sen, Pegasus Heights susut setengah sen kepada setengah sen, Mpire Global naik 2.0 sen kepada 14 sen, dan YTL Corp turun 15 sen kepada RM2.31.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 34.25 mata kepada 12,324.20, Indeks FBMT 100 menambah 35.15 mata kepada 12,024.87 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 31.93 mata kepada 12,233.

Indeks FBM 70 menokok 34.48 mata kepada 17,603.80 manakala Indeks FBM ACE susut 13.62 mata kepada 5,075.49.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 155.83 mata kepada 19,414.99, Indeks Perladangan menambah 47.67 mata kepada 7,264.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.40 mata kepada 175.63 manakala Indeks Tenaga susut 21.39 mata kepada 856.68.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.57 bilion unit bernilai RM2.48 bilion daripada 1.16 bilion unit pada Isnin bernilai RM1.90 bilion.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 818.81 juta unit bernilai RM125.52 juta daripada 547.85 juta unit bernilai RM73.55 juta sebelumnya.

Bagaimanapun jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 475.54 juta unit bernilai RM166.16 juta daripada 520.65 juta unit bernilai RM110.33 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 308.10 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (201.91 juta), pembinaan (165.95 juta), teknologi (163.80 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (89.66 juta), hartanah (300.29 juta), perladangan (25.51 juta), REIT (12.27 juta), dana tertutup (26,200), tenaga (113.15 juta), penjagaan kesihatan (54.38 juta), telekomunikasi dan media (29.39 juta), pengangkutan dan logistik (29.39 juta), utiliti (80.48 juta), dan amanah perniagaan (63,200). -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA