KUALA LUMPUR, 29 September - Orang ramai disaran memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat agar kelayakan mereka tidak terjejas, menjelang pelaksanaan penuh sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) esok.
Berdasarkan analisis Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pengangkutan (MoT), terdapat sebahagian data lesen memandu yang masih menggunakan nombor lama seperti nombor polis, nombor tentera, atau nombor IC lama dan tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.
''Selain memastikan lesen masih sah, pengguna perlu memastikan nombor MyKad 12 digit digunakan dan direkod dengan betul dalam lesen memandu.
''Selain itu, nama pemegang lesen juga perlu dipastikan tepat serta kelas dan jenis kenderaan yang dinyatakan dengan betul,'' menurut MOF dalam satu kenyataan, hari ini.
Penyelarasan ini perlu memandangkan butiran di lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat dalam MyKad, yang akan dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan.
Sekiranya terdapat sebarang ketidakselarasan, individu terlibat perlu hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat lesen memandu.
"MOF dan MoT akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi BUDI95", katanya.