fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini, didorong oleh sokongan belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi dan saham permodalan kecil.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.54 mata kepada 1,491.91 daripada 1,486.37 pada Jumaat lepas.

Indeks barometer, yang dibuka tinggi 0.98 mata kepada 1,487.35, bergerak antara 1,485.51 dan 1,493.98 sepanjang sesi.

Suasana pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 546 berbanding 385 manakala 378 kaunter tidak berubah, 954 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.85 bilion unit bernilai RM1.63 bilion.

Seorang peniaga berkata sentimen dalam pasaran dipengaruhi oleh spekulasi bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mula menurunkan kadar utama pada tahun ini, dengan langkah pertama dijangka pada Mac.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka paras halangan FBM KLCI pada sekitar 1,510-1,520, dengan paras sokongan antara 1,460 dan 1,470.

“Dengan kenaikan kukuh yang berterusan di AS, kami menjangka minat belian akan meningkat di bursa tempatan dalam sektor teknologi.

“Kami turut menjangka permodalan kecil dan saham berharga rendah akan menyaksikan aktiviti belian saham pada harga rendah dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut firma broker itu, tumpuan akan diberikan kepada pemangkin pelaburan seperti pelaksanaan semula projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, minat yang semakin meningkat di peringkat serantau dan kelonggaran syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Justeru, peniaga akan memberi tumpuan kepada segmen pembinaan, hartanah dan bahan binaan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM10.54 dan CelcomDigi naik lima sen kepada RM4.25, bagaimanapun IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.00.

Maybank merosot tiga sen kepada RM9.00, Public Bank berkurangan dua sen kepada RM4.33 serta CIMB dan Petronas Chemicals, masing-masing susut enam sen kepada RM5.95 dan RM6.72.

Daripada saham aktif, Sarawak Consolidated naik 13 sen kepada 42 sen, Widad Group meningkat tiga sen kepada 14 sen, Jentayu menambah satu sen kepada 51 sen dan YNH Property merosot 28.5 sen kepada 57 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 53.04 mata kepada 11,118.2, Indeks FBM 70 naik 97.34 mata kepada 15,138.73, Indeks FBMT 100 menambah 47.49 mata kepada 10,781.78, Indeks FBM Emas Shariah menokok 68.17 mata kepada 11,238.84 dan Indeks FBM ACE naik 22.34 mata kepada 4,812.49.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 11.87 mata kepada 902.84, Indeks Perladangan naik 28.17 mata kepada 7,191.26, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.35 mata kepada 173.27, Indeks Tenaga menokok 5.9 mata kepada 849.22 dan FBM SCAP naik 170.51 mata kepada 16,550.78.

Sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 20.35 mata kepada 16,593.17.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN