fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang positif, didorong oleh kenaikan berterusan di Wall Street semalaman.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.40 mata atau 0.23 peratus kepada 1,457.62 daripada 1,454.22 pada Rabu.

FBM KLCI dibuka rendah 0.36 mata kepada 1,453.86 dan bergerak antara 1,453.06 dan 1,458.68 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 410 berbanding 364 manakala 419 kaunter tidak berubah, 1,108 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.40 bilion unit bernilai RM1.18 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya sentimen positif di Wall Street dapat mempengaruhi pasaran saham tempatan yang akan mendorong FBM KLCI lebih tinggi.

“Dengan aktiviti memperelokkan akaun sedang dilaksanakan, kami percaya minat belian akan wujud dalam saham wajaran tinggi berkaitan indeks sekurang-kurangnya untuk sepanjang minggu ini.

“Sementara itu, kami percaya kelonggaran syarat program Rumah Keduaku, selain potensi pemulihan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura akan memberi prospek yang baik kepada sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu turut berpendapat sektor pengguna dijangka mendapat lebih banyak perhatian pada tahun depan dengan tumpuan kepada program rasionalisasi subsidi.

Di peringkat serantau, Hang Seng Hong Kong naik 1.51 peratus kepada 16,876.69, Indeks Strait Times Singapura meningkat 1.57 peratus kepada 3,220.58 dan Kospi Korea Selatan menambah 0.86 peratus kepada 2,636.08.

Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi Maybank, Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals, masing-masing tidak berubah pada RM8.90, RM10.00 dan RM7.20 manakala Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.29 dan CIMB naik enam sen kepada RM5.86.

Daripada saham aktif, Hong Seng menambah satu sen kepada tiga sen, Sarawak Cable naik enam sen kepada 45 sen, Pelikan dan VSolar, masing-masing meningkat 4.5 sen kepada 21.5 sen dan 22 sen dan Minetech menokok setengah sen kepada 16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 merosot 29.13 mata kepada 14,600.58 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 12.23 mata kepada 11,016.27.

Indeks FBM ACE naik 55.17 mata kepada 5,264.55, Indeks FBM Emas meningkat 12.66 mata kepada 10,838.26 dan Indeks FBMT 100 menambah 12.96 mata kepada 10,499.36.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.20 mata kepada 172.64 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 94.30 mata kepada 16,309.38.

Sementara itu, Indeks Perladangan merosot 9.03 mata kepada 7,009.30, Indeks Tenaga susut 3.13 mata kepada 819.05 dan Indeks Hartanah berkurangan 0.65 mata kepada 863.87. -BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE