KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Bursa Malaysia diniagakan rendah pagi ini memandangkan sentimen masih lemah kerana ketiadaan pemangkin baharu, kata seorang peniaga.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.66 mata kepada 1,439.38 daripada penutupan Jumaat pada 1,441.04.
Namun begitu, indeks utama dibuka 0.69 mata lebih tinggi pada paras 1,441.73.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 248 berbalas 62, manakala 231 kaunter tidak berubah, 1,816 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan 174.38 juta unit bernilai RM53.59 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya menjangkakan peniaga akan berhati-hati dan kekal pada pegangan masing-masing menjelang musim pelaporan pendapatan bulan depan.
Ia berkata hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang tinggi, konflik berterusan di Timur Tengah serta kecenderungan Rizab Persekutuan AS terhadap kadar faedah mengehadkan potensi menaik di pasaran tempatan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat.
(FOTO BERNAMA)
“Walaupun Wall Street kurang menggalakkan, kami mendapati bahawa sesetengah saham teknologi sudah matang untuk bergerak lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, firma pembrokeran itu turut berpihak pada sektor tenaga berikutan harga minyak mentah Brent yang mengukuh.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen menjadi RM8.98, Tenaga Nasional turun tiga sen kepada RM9.79 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah satu sen kepada RM4.15 dan RM7.21 manakala CIMB kekal pada RM5.62.
Bagi saham aktif, Hong Seng dan Widad, kedua-duanya peroleh satu sen kepada 5.5 sen dan 56.5 sen, Auro dan Velesto susut setengah sen kepada 17 sen dan 25 sen manakala Asdion tidak berubah pada lapan sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 17.16 mata kepada 10,603.28, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 22.78 mata menjadi 10,837.17 dan Indeks FBMT 100 turun 15.74 mata kepada 10,282.24.
Indeks FBM 70 menguncup 38.36 mata kepada 13,934.52 dan Indeks ACE FBM kerugian 41.17 mata untuk mencatatkan paras 5,088.52.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.74 mata pada 171.65, Indeks Tenaga lemah 6.49 mata menjadi 874.59, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.12 mata kepada 16,187.21, manakala Indeks Perladangan meningkat 2.60 mata kepada 6,912.57.- BERNAMA