fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi, dipacu minat belian saham wajaran tinggi

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat disebabkan minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen bercampur-campur di pasaran serantau.

Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.17 mata atau 0.01 peratus kepada 1,549.16 daripada 1,548.99 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.75 mata lebih tinggi kepada 1,550.74.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 157 berbanding 134 manakala 268 kaunter tidak berubah, 1,828 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 152.15 juta saham bernilai RM80.68 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya bahawa Bursa Malaysia mungkin berdagang pada kedudukan yang lebih kukuh hari ini berikutan petunjuk positif semalaman daripada Wall Street.

Ia didorong oleh minat belian berterusan dalam saham teknologi selepas perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Vietnam, ditambah dengan pemulangan dana asing sepanjang minggu lalu.

“Sentimen risiko berterusan di Wall Street, dirangsang oleh pertumbuhan pekerjaan lebih kukuh daripada jangkaan dan ketegangan perdagangan yang semakin berkurangan berikutan perjanjian perdagangan AS-Vietnam.

"Kami menjangkakan pembangunan pusat data boleh disambung semula, membawa kepada aktiviti perdagangan positif dalam sektor teknologi dan telekomunikasi," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank jatuh 1.0 sen kepada RM9.79, Public Bank meningkat 1.0 sen kepada RM4.31, Tenaga Nasional menambah 8.0 sen kepada RM14.10, CIMB melonjak 2.0 sen kepada RM6.81 manakala IHH Healthcare merosot 3.0 sen kepada RM6.82.

Bagi saham aktif, Borneo Oil dan Nationgate tidak berubah masing-masing pada 0.5 sen dan RM1.67, Innature danSNS Network masing-masing naik 0.5 sen kepada 21 sen dan 55.5 sen manakala Inari Amertron jatuh 1.0 sen kepada RM2.14.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 4.49 mata kepada 11,612.71, Indeks FBMT 100 jatuh 6.85 mata kepada 11,385.07, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 10.80 mata kepada 11,627.22, Indeks FBM 70 berkurangan 45.43 mata kepada 16,787.10 manakala Indeks FBM ACE menambah 0.26 mata kepada 4,527.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 14.94 mata kepada 17,749.53, Indeks Perladangan susut 16.26 mata kepada 7,419.57, Indeks Tenaga turun 0.12 mata kepada 743.39 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.08 mata kepada 156.09.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM