fb fb fb fb fb

BUDI95: RM22.9 juta pembelian RON95 direkod pada hari kedua

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 September - Sejumlah RM22.9 juta pembelian petrol pada harga bersubsidi RM1.99 seliter direkodkan pada hari kedua pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, nilai transaksi itu melibatkan pembelian 11.5 juta liter petrol RON95.

"Daripada segi pelaksanaan, sistem BUDI95 kekal stabil pada hari kedua apabila ia dibuka kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan lesen memandu aktif.

"Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara.

"Sistem ini akan diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula esok," menurut kenyataan itu.

Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lalu, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95.

Portal BUDI95 kini juga dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi BUDI95 yang memerlukan pengguna mendaftar dan log masuk ke portal tersebut menggunakan MyDigital ID.

MyDigital ID digunakan sebagai langkah keselamatan bagi memelihara identiti digital serta maklumat peribadi rakyat dalam aplikasi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai BUDI95, orang ramai boleh merujuk soalan lazim melalui portal rasminya di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM