fb fb fb fb fb

Agrobank peruntuk RM50 juta, sokong lebih 4,000 usahawan mikro

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein (kiri) dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid. Foto Facebook Agrobank

KOTA KINABALU, 6 Julai - Lebih 4,000 usahawan mikro berpendapatan rendah bakal menerima manfaat menerusi Program Agro Pintar Niaga (AgroPintar), dengan peruntukan pembiayaan mikro sebanyak RM50 juta dan padanan geran i-Tekad bernilai RM5 juta.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein berkata, program menyeluruh itu meliputi aspek literasi kewangan terutama pengurusan kewangan, pengurusan risiko kredit serta kawalan hutang.

Ini bagi memperkasa usahawan mikro mengurus serta mengembangkan perniagaan secara mampan.

"Kami percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan memberi impak positif dari segi ekonomi, malah mampu merangsang pertumbuhan sosial dalam kalangan usahawan mikro.

"Dengan bimbingan berstruktur, para peserta program akan dilengkapkan dengan kemahiran membuat keputusan kewangan dan perniagaan secara bijak, seterusnya meningkatkan kebolehupayaan mereka dalam mengurus pelbagai aspek perniagaan secara efisien," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, pemantauan terhadap perkembangan dan keberkesanan program akan dijalankan selepas enam bulan penyertaan usahawan.

Program AgroPintar itu dilancarkan pada 5 Julai diteraju oleh Bahagian Pusat Kecemerlangan (ACE) dan Pembiayaan Mikro Agrobank, mencerminkan komitmen berterusan bank ini untuk memperkasakan usahawan mikro di seluruh negara.

Pada majlis yang sama,ia turut melancarkan Siri Video Celik Kewangan, yang dibangunkan secara kerjasama dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dengan 12 episod menampilkan pengaruh media sosial popular, Sir Asai.

Inisiatif ini disesuaikan untuk menggalakkan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar sekolah menggunakan kandungan yang menyeronokkan dan boleh diakses.

Ia bertujuan untuk menyemai tabiat kewangan yang sihat melalui pendekatan 3S - Spend (Berbelanja), Save (Simpan) dan Share (Kongsi) bagi menggalakkan generasi muda mengamalkan pengurusan wang yang bertanggungjawab sejak kecil.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI