KUALA LUMPUR, 6 Julai - Pembelian barangan buatan Malaysia terus memberi impak signifikan kepada pengguna dan ekonomi negara secara keseluruhan.
Menurut Ahli Eksekutif Bahagian Komunikasi Strategik dan Pengurusan Sumber, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Tamilarasan Nalliah, langkah ini berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, seterusnya membantu menurunkan kadar pengangguran negara.
“Beli barangan buatan Malaysia ni memberi banyak impak, bukan sahaja dari segi mikro, tetapi makro juga. Contohnya setiap pembelian barang buatan Malaysia kita boleh menjamin setiap ringgit yang kita belanja itu akan kekal dalam negara, seterusnya menjamin rantaian perniagaan yang lebih stabil," katanya kepada pemberita di Angkasapuri Kota Media.
Selain menjana peluang ekonomi, barangan tempatan juga diyakini berkualiti tinggi kerana mematuhi piawaian antarabangsa.
Ke arah itu, kerajaan turut menyokong usaha memartabatkan produk tempatan melalui pelbagai inisiatif termasuk Kempen Beli Barangan Malaysia, penyediaan latihan dan geran pemasaran serta platform Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) untuk memasarkan produk ke peringkat global.