VIENNA, 6 Julai - Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, pada Sabtu mengumumkan keputusan untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 548,000 tong sehari (bpd) bagi Ogos, iaitu peningkatan yang lebih pantas berbanding Julai.
Pada Julai, negara-negara OPEC+ mencatat peningkatan pengeluaran sebanyak 411,000 tong sehari, selaras dengan pelan berperingkat untuk melonggarkan pemotongan pengeluaran yang dilaksanakan sebelum ini.
Keputusan terbaharu itu dicapai dalam satu mesyuarat maya yang disertai negara-negara anggota termasuk Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman, menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi OPEC.
Pelarasan pengeluaran dibuat berdasarkan “unjuran ekonomi global yang stabil serta asas pasaran semasa yang kukuh, sebagaimana ditunjukkan melalui paras inventori minyak yang rendah,” menurut kenyataan itu. - BERNAMA